Monday, December 16, 2013

Skuad Hoki Wanita Sukar Digugat, Tewaskan Singapura 8-1


YANGON, 16 Dis (Bernama) --Skuad hoki wanita negara nyata sukar digugat apabila menumpaskan Singapura 8-1 untuk kemenangan ketiga berturut-turut pada perlawanan pusingan awal temasya Sukan SEA ke-27 di Stadium Hoki Theinphyu di sini Isnin.

Lebih manis lagi, gol pertama pasukan negara pada minit ketiga dijaringkan oleh kapten pasukan Nadia Abdul Rahman yang menyambut ulang tahun kelahirannya ke-28 hari ini.

Norbaili Hashim dan Nurul Nabila Mansur menjaringkan gol kedua dan ketiga menerusi gol padang, masing-masing pada minit kesembilan dan minit ke-19.

Sebelum tamat separuh masa pertama, Nurazlin Sumantri menjaringkan gol keempat menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-31.

Babak kedua perlawanan menyaksikan pasukan negara terus memberi tekanan kepada pasukan lawan dengan meledakkan empat gol bermula dengan jaringan padang oleh Nuraini Abdul Rashid pada minit ke-38 untuk gol kelima.

Singapura memperoleh gol tunggal mereka menerusi jaringan pukulan sudut penalti daripada Yen Ping Eunice Teng pada minit ke-49.

Fazillah Sylbester Silin memberikan kedudukan selesa kepada negara dengan gol keenam pada minit ke-52 menerusi jaringan padang.

Selang tujuh minit kemudian Noor Hasliza Md Ali menjaringkan gol ketujuh buat pasukan dan Fazillah melengkapkan kemenangan negara dengan gol kelapan pada minit ke-66.

Jurulatih Nasihin Nublin Ibrahim berkata beliau berpuas hati dengan prestasi konsisten yang ditunjukkan oleh skuad negara dan kemenangan itu juga dapat menambah keyakinan pasukan untuk mara ke final.

"Hari ini kita bermain lebih kepada 'pressing game', saya lihat pasukan Singapura bermain dengan bertahan jadi sukar untuk pasukan negara untuk menjaringkan gol yang banyak.

"Saya juga mahu skuad negara memperbaiki pukulan sudut penalti mereka, peluang banyak tetapi pukulan tidak begitu kemas," katanya kepada pemberita.

Skuad negara meraih kemenangan pertama menewaskan pasukan tuan rumah, Myanmar 6-0 kemudian mencipta rekod dunia dengan menjaringkan gol sebanyak 36-0 ketika mengalahkan Kemboja.

Malaysia masih berbaki dua perlawanan pusingan awal iaitu menentang Thailand esok dan Indonesia, Khamis ini.

Daripada Nursyabiha Sukri
BERNAMA

No comments:

Post a Comment