Monday, December 16, 2013

Skuad Hoki Lelaki Belasah Thailand 13-0 Pada Aksi Kedua


YANGON, 16 Dis (Bernama) -- Dangerous Lee melakukan jaringan hatrik bagi membantu skuad hoki lelaki negara membenam Thailand 13-0 pada perlawanan kedua pusingan awal pada temasya Sukan SEA ke-27 di Stadium Hoki Theinphyu di sini Isnin.

Malaysia, selaku juara bertahan, mengulangi jaringan sama pada perlawanan pembukaan menentang Vietnam semalam.

Walaupun standard skuad bimbingan Tai Beng Hai jauh lebih tinggi berbanding Thailand namun pemain tidak mengambil mudah dengan mendahului 7-0 pada separuh masa.

Lee melakukan jaringan hatrik bermula minit ke-18, 26' dan 48' manakala tiga pemain masing-masing melakukan dua jaringan.

Ahmad Kazamirul Nasruddin Jamaluddin menjaringkan gol pada minit ke-19 dan 67', Azammi Adabi (26', 38') dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil pada minit ke-58 dan 65'.

Penjaring lain ialah Amin Rahim (16'), Azreen Rizal Nasir (17'), Dedy Aryadi Jumaidi (33') dan Muhammad Abdul Azwa Abdul Rahman pada minit ke-34.

Kapten pasukan Mohd Sharun Nabil Abdullah berkata pasukannya mempamerkan kekuatan sebenar dalam setiap perlawanan dan tidak memandang rendah dengan kebolehan pasukan lawan.

"Walaupun pasukan negara mempunyai standard kita sendiri, kita tidak boleh memandang rendah kemampuan pasukan lawan, kita bermain dengan kekuatan sebenar untuk meraih pingat emas di sini.

"Kita tidak boleh terlalu yakin kerana prestasi di sini kena jaga, itu matlamat kita," katanya kepada pemberita.

Skuad hoki lelaki akan menentang Singapura Rabu ini sebelum melengkapkan jadual pusingan awal menentang Myanmar pada hari berikutnya.

Daripada Nursyabiha Sukri -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment