Monday, December 16, 2013

Angkat Berat Tutup Tirai Sukan SEA Dengan Dua Pingat Gangsa


YANGON, 16 Dis (Bernama) -- Atlet negara Mohd Faiz Musa dan Nor Khasida Abdul Halim menutup tirai acara angkat berat dengan meraih dua pingat gangsa pada temasya Sukan SEA ke-27 di sini Isnin.

Di Stadium Theinphyu di sini, Mohd Faiz yang mengambil bahagian dalam kategori 94kg terpaksa berpuas hati dengan jumlah angkatan 308kg.

Pingat emas dimenangi oleh Sarat Sumpradit dari Thailand dengan jumlah angkatan 352kg.

Sarat juga cemerlang apabila memperbaharui rekod Sukan SEA bagi angkatan Clean and Jerk dengan catatan 194kg yang sebelum ini dipegang oleh rakan sepasukannya Suthiphon Watthanaksi dengan catatan 193kg.

Pingat perak diraih oleh Hoa Tran Van dari Vietnam dengan jumlah angkatan 345kg.

Mohd Faiz berkata beliau tetap bersungguh-sungguh untuk meraih pingat buat negara walaupun masih mengalami kecederaan pada lutut kiri.

"Walaupun masih mengalami kecederaan pada lutut kiri, saya rasa bersyukur masih dapat melakukan angkatan 173kg bagi Clean and Jerk.

"Disebabkan tidak mahu kecederaan saya bertambah teruk jadi saya tidak berani mengambil risiko untuk memulakan angkatan yang lebih berat.

"Fokus saya selepas ini ialah layak beraksi di Sukan Komanwel tahun depan," katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Nor Khasida meraih pingat gangsa bagi kategori wanita 69kg dengan jumlah angkatan 188kg.

Pingat emas diraih oleh Boonatee Klkasikit dari Thailand dengan jumlah angkatan 225kg manakala pingat perak menjadi milik atlet tuan rumah, Lae Lae Win dengan catatan 206kg.

Atlet negara yang turut mengambil bahagian ialah Mohd Hafifi Mansor bagi kategori 69kg, Muhammad Aznil Bidin (56kg), Constantine Clement (62kg), Azizah Fadzil (53kg), Frenceay Titus (58kg) dan Elyone Matin (63kg).

Daripada Nursyabiha Sukri -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment