Monday, December 16, 2013

Iskandar Pecah Rekod Kebangsaan Dalam Acara Lompat Bergalah


NAYPYITAW, 16 Dis (Bernama) -- Atlet elit kebangsaan, Iskandar Alwi berjaya memperbaharui rekod kebangsaan acara lompat bergalah walaupun sekadar meraih pingat perak pada hari kedua acara olahraga Sukan SEA ke-27 di sini Isnin.

Pelajar prauniversiti Sekolah Sukan Bukit Jalil itu merekodkan ketinggian 5.10m, sekali gus memadamkan rekod kebangsaan miliknya iaitu 5.01m yang dicipta dalam Kejohanan Amatur Wilayah Persekutuan, Mac lepas.

Atlet Thailand, Kreeta Sintawacheewa mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edis 2011 di Indonesia selepas melakukan lompatan 5.15m manakala rakan senegara Sompong Saombankuay meraih gangsa dengan catatan 5m.

Iskandar yang ditemui pemberita selepas acara berkenaan bagaimanapun agak terkilan memandangkan gagal mencapai sasaran peribadinya iaitu meraih pingat emas dalam penampilan sulung pada temasya Sukan SEA kali ini.

"Saya cuba beri saingan kepada atlet dari Thailand itu namun rezeki saya berada di tangga kedua dan ia sudah dikira agak baik," kata atlet kelahiran Johor Baharu berusia 19 tahun itu.

Jurulatih Mohd Manshahar Abdul Jalil pula yakin dengan kemampuan Iskandar untuk pergi lebih jauh dalam acara berkenaan sekiranya diberikan pendedahan lebih meluas dalam kejohanan bertaraf antarabangsa.

"Saya harap pada Sukan SEA 2015 di Singapura nanti, beliau (Iskandar) dapat meraih pingat emas kerana lebih banyak lagi yang perlu dipertingkatkan," katanya.

Terdahulu, atlet baling tukul besi wanita, Renee Kelly Lee Casier meraih perak selepas mencatat balingan sejauh 53.12m dalam acara berkenaan.

Emas menjadi milik atlet Thailand, Panwat Gimsrang dengan catatan 54.96m manakala gangsa menjadi milik rakan senegaranya Mingkamon Koomphon dengan jarak 51.82m.

"Saya berasa seronok mengambil bahagian di temasya ini, sebenarnya saya hampir meraih emas pada balingan keempat dengan melakukan catatan 55 meter tetapi dibatalkan, namun sekurang-kurangnya saya berjaya melakukan catatan peribadi terbaik di sini," kata Renee.

Dalam pada itu, Malaysia gagal meraih sebarang pingat dalam acara 4x100m lari berganti-ganti lelaki dan wanita selepas masing-masing meraih kedudukan keempat.

Kuartet lelaki yang dibarisi Eddie Edward Jr, Mohd Shahmimi Azmi, Mohd Azhar Md Ismail dan Harith Ammar Mohd Sobri sekadar mencatat masa 41.35s pada acara yang dimenangi oleh kuartet Thailand dengan catatan 39.75s.

Ketinggalan 0.04 saat di belakang ialah kuartet Singapura manakala Indonesia meraih gangsa dengan catatan masa 40.15s.

Kuartet wanita negara yang dianggotai Zaidatul Husna dan Zaidatul Husniah Zulkifli, Komalam Shally serta Nurul Faizah Asma Mazlan mencatat masa 45.93s.

Thailand mengekalkan pingat emas selepas kuartet mereka mencatat 44.42s, Vietnam (perak) 44.99s manakala gangsa diraih oleh kuartet Indonesia dengan masa 45.88s.

Daripada Mazani Chan Yat Sin -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment