Friday, December 13, 2013

Skuad Bola Sepak Wanita Negara Belasah Laos 3-1


YANGON, 12 Dis (Bernama) -- Skuad bola sepak wanita negara memulakan kempen dengan langkah kanan dalam saingan kumpulan B selepas mengatasi Laos 3-1 pada temasya Sukan SEA Myanmar, Khamis.

Pada perlawanan pembukaan di Stadium Mandalar, skuad bimbingan jurulatih Jacob Joseph itu membuka jaringan seawal minit pertama menerusi Shihaya Ajad.

Tujuh minit kemudian, kapten pasukan Angela Kais menambah jaringan untuk skuad kebangsaan.

Babak kedua perlawanan menyaksikan skuad kebangsaan terus mempamer aksi bertenaga dengan jaringan ketiga oleh Angela pada minit ke-68 sekali gus memberi kedudukan selesa buat pasukan negara.

Laos memperoleh gol tunggal menerusi pemain mereka, Noum Angmangsongs, pada minit ke-73.

Joseph berkata peluang skuad negara untuk mara ke separuh akhir nampak cerah apabila berbaki satu perlawanan Sabtu ini iaitu menentang Thailand.

"Saya bangga dengan pencapaian dan peningkatan yang ditunjukkan oleh skuad wanita negara hari ini.

"Kini peluang ke separuh akhir semakin hampir, jadi saya harap skuad mempamerkan aksi yang bertenaga menentang Thailand nanti," katanya kepada BERNAMA.

Malaysia disenarai dalam kumpulan B bersama Thailand dan Laos manakala kumpulan A terdiri daripada Vietnam, Myanmar dan Filipina.

Daripada Nursyabiha Sukri --BERNAMA

No comments:

Post a Comment