Saturday, December 14, 2013

Praveen Sumbang Emas Ketiga Negara Daripada Sukan Ekuestrian


NAYPYITAW, 14 Dis (Bernama) -- Penunggang muda M.Praveen Nair melakukan kejutan dalam penampilan sulung di Sukan SEA ke-27 apabila berjaya merangkul emas dalam acara 'Dressage' individu di Pusat Ekuestrian Wunna Theikdi di sini hari ini.

Pelajar berusia 16 tahun itu yang menunggang kuda bernama 'Sen Wil Mal' memungut 67.405 mata keseluruhan, sekali gus mengenepikan dua pencabarnya dari Indonesia iaitu Valentino Lumentah dan Ferry Wahyu Hadiyanto yang meraih pingat perak dan gangsa.

Valentino, dengan kuda 'Ngwe Lar May' mencatatkan 66.432 mata manakala Ferry yang menunggang 'Perfecting Ruby' memungut 64.108 mata.

Seorang penunggang negara N. Shoorendran dengan kuda 'Tommy Gun' sekadar menduduki tangga kelima dengan pungutan 59.945 mata.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyampaikan pingat kepada para pemenang pada acara itu yang turut dihadiri Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong.

Praveen, yang ditemui pemberita selepas upacara penyampaian pingat, mendedikasikan kemenangan tersebut kepada ibu bapanya yang banyak memberikan sokongan moral dalam menceburi sukan berkuda sejak berusia 10 tahun.

Katanya, kemenangan itu sekurang-kurangnya dapat menebus kembali kekecewaan bersama rakan sepasukan dalam acara dressage berpasukan, semalam yang menyaksikan mereka gagal meraih sebarang pingat.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada jurulatih Chris Ladbrook dari New Zealand yang banyak mengajar saya sejak enam tahun lepas," kata pelajar Sekolah Antarabangsa Nexus, Putrajaya.

Berkongsi nada gembira ialah pengurus pasukan, Mohammad Din Mat yang tidak menyangka skuad negara mampu meraih tiga pingat emas memandangkan mereka tidak diletakkan sebarang sasaran daripada MOM dan MSN.

"Alhamdulillah...Persatuan Ekustrian Malaysia pula hanya menyasarkan dua pingat emas tetapi kita berjaya melebihi sasaran berkenaan.

"Kita ada dua lagi acara selepas ini iaitu 'Show Jumping' individu dan berpasukan selepas ini...Kita tidak menjanjikan apa-apa tetapi kita akan berusaha untuk mendapatkan pingat dalam dua acara berkenaan," katanya.

Skuad berkenaan sebelum ini meraih dua pingat emas menerusi Mohd Sulaiman Muda dalam acara perlumbaan lasak individu serta berpasukan, Rabu lepas.

Daripada Mazani Chan Yat Sin -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment