Monday, December 2, 2013

Percaturan ampuh buru emas

CUACA di Melaka Khamis lalu agak panas. Bagaimanapun, bahang itu belum mampu menandingi perdebatan 'panas' yang membelenggu Jawatankuasa Lebuhraya Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Seperti biasa, mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Presiden, Datuk Abu Samah Abd. Wahab.
Agenda mesyuarat Khamis lalu hanya satu - menepati syarat meraih satu pingat emas menerusi acara lebuh raya pada Sukan SEA 2013 di Myanmar sebagaimana yang ditetapkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Atas kertas, barisan pelumba negara dianggap paling perkasa di rantau Asia Tenggara. Senario tersebut meyakinkan Jawatankuasa Lebuhraya PKBM betapa sasaran satu emas yang ditetapkan oleh Khairy Jamaluddin seakan-akan mudah untuk digapai.

Nama Loh Sea Keong yang telah dilestarikan namanya selaku juara individu keseluruhan Jelajah 1Malaysia 2013 pasti digeruni di Naypyitaw nanti.

Begitu juga kelibat dua tonggak Terengganu Cycling Team (TSG) - Mohd. Saufi Mat Senan atau Mohd. Shahrul Mat Amin.

Prestasi dua pelumba pro benua dan benua - Mohd. Adiq Hussainie Othman dari Champion System Pro Cycling Team dan Amir Mustafa Rusli (Drapac Professional Cycling Team) cukup ampuh.
Ditambah pula mereka sudah pernah beraksi di pentas yang lebih besar - Sukan Olimpik 2012 di London selain Kejohanan Dunia 2013 di Florence, Itali.

Pada masa sama, prestasi semasa pelumba berpengalaman, Mohd. Fauzan Ahmad Lufti selain Muhammad Rauf Nur Misbah dan Nik Mohd. Azwan Zulkiflie pada penyertaan di China dan Indonesia sebelum ini dikatakan sangat memuaskan.

Namun, Abu Samah menegaskan betapa pengalaman masa silam selaku bekas pelumba era tahun 50-an mengajar beliau agar lebih berwaspada dalam menetapkan sasaran kemenangan.

Kekecewaan pada tiga temasya Sukan SEA di Korat, Thailand (2007); Viantiane, Laos (2009) dan Subang, Indonesia (2011) adalah hakikat yang amat perit untuk ditelan oleh Abu Samah.
"Sebelum ini, kita bolehlah dianggap kuasa dalam acara lepas beramai-ramai elit lelaki. Barisan pelumba lebuh raya Malaysia adalah kuasa dominan dalam acara lepas beramai-ramai elit lelaki sejak Sukan SEA 1995 di Chiangmai, Thailand.

"Namun, kita mula berputih mata pada 2007. Suhardi (Hassan) dilihat seakan boleh untuk mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Filipina dua tahun sebelum itu.
"Namun, kesilapan pada 10 kilometer terakhir menyebabkan pelumba Indonesia (Ryan Ariehaan) menghancurkan impian besar kita.

"Selepas itu kita terus gagal di Laos dan Indonesia. Bagaimanapun, PKBM tak pernah mahu untuk mengaku kalah.

"Pada temasya Sukan SEA kali ini, saya berjanji akan membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas," kata Abu Samah baru-baru ini.

Abu Samah yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) merumuskan betapa persiapan untuk Sukan SEA 2013 adalah antara termahal dan paling komprehensif dalam sejarah penyertaan ke temasya berkenaan.

Ketika ini, PKBM menerima bantuan RM1.5 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai perbelanjaan pembangunan pasukan lebuh raya Malaysia.

Keutamaan perbelanjaan sebahagian besar dijuruskan kepada penyertaan pada perlumbaan paling berprestij di rantau Asia - Le Tour de Langkawi (LTdL).

"Kita telah beli enam biji basikal time-trial (ujian masa) dan set kelengkapan alat ganti yang canggih. Kita juga telah beri basikal baharu untuk pelumba lebuh raya bagi acara lepas beramai-ramai elit lelaki.

"Boleh dikatakan tidak timbul lagi soal kita gunakan basikal lama atau kelengkapan alat ganti tidak cukup.

"Para pelumba telah sertai lebih daripada lima kejohanan besar termasuk dua di China dan Indonesia. PKBM juga telah jaga kebajikan semua pelumba termasuk pastikan elaun mereka diterima tepat pada masanya.

"Jadi, rumusan saya adalah mereka ibarat mahu melangkah ke medan perang dengan segenap peluru dan kelengkapan yang sangat canggih.

"Jika dilihat dengan segala kelengkapan, mereka adalah yang terhebat di rantau Asia Tenggara pada ketika ini. Kalau diikutkan hati sasaran satu emas tidak setimpal dengan pelaburan yang sudah dibelanjakan.

"Berbaloi sangat kalau kita dapat empat atau lima pingat emas. Ini kerana ada 13 pingat emas yang dipertandingkan dalam acara berbasikal di Myanmar nanti," katanya.

Persiapan yang sangat rapi sejak awal tahun ini jelas membuatkan ketua jurulatih, Aminuddin Sulaiman optimis sasaran satu emas boleh direalitikan tanpa banyak masalah.

"Saya melihat kita berpeluang untuk menang pingat emas emas menerusi acara ITT (ujian masa individu) dan TTT (ujian masa berpasukan). Saya telah buat sedikit kerja rumah.

"Saya dapati pencapaian Fauzan dan barisan TTT Malaysia adalah yang paling pantas di rantau Asia Tenggara pada ketika ini.

"Justeru, saya amat yakin bahawa kita mampu untuk menang dalam kedua-dua acara ini, malah kita juga amat kuat dalam kategori berpasukan acara lepas beramai-ramai elit lelaki. Kita ada ramai pelumba yang hebat.

"Begitupun, saya cuma perlu lebih berhati-hati dalam merencanakan strategi berpasukan dan siapakah pelumba yang patut naik dalam acara lepas beramai-ramai elit lelaki.

"Kita hanya boleh senaraikan enam pelumba. Saya percaya semua pelumba ke Myanmar nanti adalah yang terbaik dan terhebat," katanya.

Aminuddin percaya Sea Keong yang cemerlang di pentas antarabangsa sepanjang 2012 dan 2013 boleh memainkan peranan terpenting untuk mengakhiri kemarau pingat emas skuad lebuh raya Malaysia sejak 2007.

"Sea Keong adalah nama yang sangat besar di rantau Asia Tenggara ketika ini. Dia menang Jersi Kuning (juara keseluruhan) Jelajah 1Malaysia 2013.

"Dia juga menduduki tempat kedua individu keseluruhan Jelajah Filipina 2012.


ADIQ antara pelumba negara yang dilihat mempunyai potensi meraih kejayaan di Myanmar.


"Lebih membanggakan apabila dia diumumkan muncul pelumba Asia Tenggara pertama yang bakal berkayuh untuk pasukan pro-tour Argos Shimano bulan lalu.

"Ini adalah satu pencapaian yang sangat besar kepada Sea Keong. Dia harus jadikan Sukan SEA 2013 sebagai satu medan untuk sahkan statusnya sebagai pelumba pro-tour yang berkaliber di rantau Asia Tenggara.

"Saya percaya dia amat ghairah untuk menang pingat emas acara lepas beramai-ramai elit lelaki," katanya.

Pengurus pasukan, Amrun Misnoh pula mengharapkan kejutan tercetus menerusi acara basikal bukit (MTB) wanita yang bakal menyaksikan Masziyaton Mohd. Radzi berazam untuk memperbaiki pencapaiannya pada dua temasya Sukan SEA sebelum ini.

"Pada Sukan SEA 2011 di Indonesia, dia menang pingat perak. Di Laos (2009), Masziyaton dapat pingat gangsa.

"Berdasarkan persiapan kali ini, selain sudah matang dari segi pengalaman, saya melihat Masziyaton sebagai calon untuk menang pingat emas menerusi acara MTB," katanya.

Amrun juga percaya Mariana Mohamad turut berpeluang besar menggapai pingat emas menerusi acara ITT kategori wanita.

"Mariana menang pingat perak pada Pra-Sukan Sea 2013 di Naypyitaw, April lalu. Ketika itu, dia cuma kalah 30 saat kepada Nontasin Chanpeng. Sebelum ini Mariana keciciran jauh dan mudah dikalahkan oleh Chanpeng.

"Kejayaan di Naypyitaw April lalu telah membuka mata Mariana. Dia seolah-olah mendapat keyakinan baharu. Dia sudah mula percayakan kebolehannya.

"Dia kini percaya boleh kalahkan jagoan Thailand itu. Saya lihat ini adalah satu perkembangan yang sangat positif ditunjukkan Mariana," katanya.

Pada usia 35 tahun, Mariana dilihat perlu memanfaatkan detik kesempurnaan itu untuk mengecapi sekelumit kejayaan di pentas Sukan SEA.

"Mungkin saya akan menjadi pelumba tertua di kalangan barisan lebuh raya wanita Malaysia. Mungkin juga saya akan muncul pelumba wanita tertua yang beraksi di Naypyitaw nanti.
"Namun, saya akan menjadikan faktor usia ini sebagai pemangkin kejayaan saya. Saya yakin boleh kalahkan Nontasin Chanpeng.

"Berdasarkan persembahan di Naypyitaw April dan prestasi semasa, saya akan mencuba untuk pingat emas. Saya berharap impian ini akan menjadi kenyataan," katanya.

Dalam pada itu, Abu Samah turut merakamkan penghargaan kepada barisan teknikal yang sekali lagi telah diberikan kepercayaan oleh ACC dan UCI bagi membantu Myanmar memastikan persiapan acara lebuh raya, MTB dan BMX berjalan lancar tanpa sebarang kontroversi.

Sebagai rekod, beliau yang juga Presiden Persatuan Berbasikal Asean (ACA) telah empat kali dilantik sebagai Ketua Delegasi Teknikal Sukan SEA di Vietnam, Laos, Indonesia dan Myanmar.
"Kita telah hantar sembilan pegawai teknikal. Mereka telah bertungkus lumus menggunakan segenap kepakaran dan pengalaman demi memastikan acara lebuh raya, MTB dan MBX menepati spesifikasi serta undang-undang yang ditetapkan oleh UCI dan ACC.

"Sebagai Ketua Delegasi Teknikal Sukan SEA yang berasal dari Malaysia, saya amat berbangga dengan sumbangan kita, ini bermakna kita bukan saja hebat dari segi penganjuran, malah kita pegawai teknikal Malaysia sudah diperaku sebagai antara yang terbaik di dunia," katanya.

Abu Samah menegaskan antara pencapaian terbaik dicetus oleh Delegasi Teknikal Sukan SEA 2013 adalah menukar laluan bagi acara lepas beramai-ramai elit lelaki.

"Bukan mudah untuk ubah pendirian Kerajaan Myanmar. Kali pertama mengadakan pemeriksaan laluan, saya diberitahu Menteri Sukan Myanmar, Tint Hsan berkeras mahukan laluan bagi acara lepas beramai-ramai berakhir berakhir di jambatan yang baru dibina oleh kerajaan Myanmar.

"Saya sendiri dua kali bertemu Menteri Sukan Myanmar dan penjelasan kepada beliau. Namun, beliau masih berkeras sehingga saya terpaksa menggunakan pengalaman, kepakaran dan peraturan yang ditetapkan oleh UCI serta ACC bagi mengubah laluan tersebut.

"Laluan tersebut sangat berbahaya kepada pelumba. dalam hal ini, saya selaku Ketua Delegasi Teknikal Sukan SEA 2013 tidak mahu berkompromi dalam soal keselamatan pelumba.

"Saya tak mahu dipersalahkan jika berlaku kemalangan yang meragut nyawa pelumba nanti. Akhirnya berkat kesabaran saya, Menteri Sukan Myanmar bersetuju untuk perubahan laluan.

"Dalam hal ini, saya berbangga kerana sekali lagi saya berjaya merungkaikan permasalahan yang rumit. Ini membuktikan kita perlu menggunakan saluran perbincangan, selain memanfaatkan sektor diplomasi.

"Kaedah yang sama juga telah saya gunakan sewaktu menyelesaikan permasalahan serupa ketika Sukan SEA 2011 di Indonesia. Pada waktu itu, tuan rumah enggan menyenaraikan acara wajib disiplin trek sebagaimana ditetapkan UCI dan ACC.

"Namun, selepas beberapa kali mengadakan pertemuan dan perbincangan, akhirnya KOI (Komite Olimpik Indonesia) dan INASOC (Jawatankuasa Penganjuran Sukan Sea 2011) akur kepada arahan UCI serta ACC atas saranan saya sendiri," katanya.

Di penghujung bicara, Abu Samah masih sempat berjenaka dan menegaskan, Aminuddin harus bertanggungjawab sepenuhnya atas penampilan dan kejayaan skuad lebuh raya Malaysia di Naypyitaw sambil berkata: "Semua kehendaknya sudah saya penuhi.

No comments:

Post a Comment