Monday, December 2, 2013

KOM tidak bawa ‘penumpang’

Kuala Lumpur: Lima emas daripada 39 atlet mampu menghadirkan kejutan buat Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) pada temasya Sukan SEA Myanmar dari 11 hingga 22 Disember ini menerusi status kategori A.

Pengurus pasukan, Datuk Wan Hisham Wan Salleh yang juga Timbalan KOM berkata, beliau yakin kemampuan atlet olahraga negara dan biarpun tanpa kelibat 'orang lama' yang sebelum ini menjadi penyumbang utama pingat kepada kontinjen negara pada temasya dwi tahunan itu.

Katanya, beliau yakin atlet olahraga negara mampu melakukan kejutan bagaimanapun enggan mendedahkan siapakah mereka kerana tidak mahu memberi tekanan selain tidak mahu mewujudkan salah anggap dalam kalangan atlet yang lain sekiranya beberapa nama itu dimaklumkan.

“Jumlah 26 atlet dengan 13 wanita yang terpilih adalah terdiri daripada mereka yang terbaik dan keputusan untuk tidak menghantar atlet bagi kategori B amat tepat.

“Ini kerana pendekatan itu akan membuatkan atlet selepas ini akan berusaha melipat gandakan usaha dan tidak hanya sekadar menjadi jaguh kampung yang terbaik di negara sendiri tapi tidak menyerlah pada peringkat Asia Tenggara.

“Biarpun bilangannya sedikit, ia berkualiti dan bukannya atlet yang dilabel sebagai penumpang. Itulah yang berlaku pada temasya lalu apabila jumlah atletnya ramai tapi sebahagiannya adalah penumpang,” katanya.

Tanpa kelibat ratu 400 meter lari berpagar, Noraseela Khalid, jaguh lompat tinggi, Lee Hup Wei yang tidak tersenarai ke Myanmar selain bekas ratu baling tukul besi, Tan Song Hwa dan atlet lompat bergalah wanita, Roslinda Samsu yang sudah bersara, KOM meletakkan sandaran yang tinggi kepada atlet muda sukan itu.



Oleh Aida Adilah Mat - Arena Harian Metro

No comments:

Post a Comment