Tuesday, December 24, 2013

Mohd Lokman Lakar Sejarah Atlet Pertama Negara Raih Emas Muay Thai

NAYPYITAW, 21 Dis (Bernama) -- Atlet muay thai Mohd Lokman Akimi Mat Roji melakar sejarah tersendiri selepas menjadi wakil pertama negara menyumbang pingat emas menerusi acara berkenaan dalam Sukan SEA Myanmar.

Dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Tertutup Tinju Wunna Theikdi di sini hari ini, anggota polis berusia 24 tahun itu mencatat kemenangan selesa menerusi kiraan mata 3-0 ke atas wakil Vietnam, Nguyen Ngo Trieu Nhat dalam kategori 51kg lelaki.

Atlet kelahiran Pasir Puteh, Kelantan itu yang ditemui pemberita tidak menyangka dapat meraih pingat emas dan menganggap kejayaan tersebut sebagai hadiah terbaik untuk isterinya, Noraini Che Harun yang bakal melahirkan cahaya mata sulung, Mac depan.

"Saya rasa amat bersyukur kerana dapat meraih pingat emas untuk kontinjen negara dan saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM), Majlis Sukan Negara dan majikan saya, Polis Diraja Malaysia," kata Mohd Lokman Akimi.

Dalam masa yang sama, Mohd Lokman Akimi turut berharap lebih ramai generasi muda terutamanya di Kelantan, menyertai sukan itu memandangkan negeri yang terkenal dengan jolokan 'Cik Siti Wan Kembang' tersebut banyak menganjurkan kejohanan muay thai.

"Saya berharap dapat meningkatkan lagi prestasi untuk menghadapi kejohanan akan datang," katanya yang berkecimpung dalam sukan yang berasal dari Thailand itu sejak 2007.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment