Tuesday, December 24, 2013

Malaysia Lepasi Sasaran, Kumpul 43 Pingat Emas

NAYPYITAW, 21 Dis (Bernama) -- Kontinjen negara menamatkan saingan di Sukan SEA ke-27 di sini dengan mengumpul 43 pingat emas, sekali gus melepasi sasaran awal 40 emas.

Kejayaan itu dicapai apabila Malaysia menambah lima emas hari ini, masing-masing dua dari acara terjun dan Muay Thai serta sebutir menerusi skuad hoki lelaki di Yangon.

Pencapaian membanggakan kontinjen negara itu, bermula menerusi Mohd Lokman Hakimi Mat Raji yang memperoleh emas ke-39 dalam acara 51kg Muay Thai.

Gandingan Ooi Tze Liang/Muhammad Nazreen Abdullah, kemudian mengungguli acara 10m platform seirama lelaki dan pencapaian tersebut membantu negara mengutip emas ke-40.

Skuad hoki lelaki negara juga bukan saingan di peringkat Asia Tenggara apabila dengan mudah menewaskan Singapura 5-0 pada perlawanan akhir, sekali gus menambah koleksi pingat emas kontingen Malaysia.

Acara terjun sekali lagi, tidak menghampakan apabila gandingan Nur Dhabitah Sabri/Leong Mun Yee memenangi acara 10 meter platform seirama wanita, sekali gus menyaksikan Malaysia menyapu bersih lapan emas yang ditawarkan dalam acara berkenaan.

Mohd Faizal Ramli melengkapkan pencapaian 43 pingat emas negara apabila memenangi pertarungan dalam kategori 75kg Muay Thai.

Ketika kesemua acara sudah menutup tirai hari ini kecuali sepak takraw yang mana Malaysia tiada wakil di peringkat separuh akhir selain upacara penutup temasya itu esok, pencapaian kontinjen negara itu meletakkan Malaysia berada pada kedudukan kelima keseluruhan.

Selepas 18 hari temasya itu berlangsung, Malaysia mengutip keseluruhan 43 pingat emas, 38 perak dan 76 gangsa.

Namun, kejayaan di Myanmar gagal memperbaiki pencapaian pada edisi 2011 di Indonesia apabila Malaysia menamatkan saingan pada kedudukan keempat keseluruhan dengan meraih 59 emas, 50 perak dan 82 gangsa.

Nasib malang menimpa skuad bola sepak bawah 23 tahun negara apabila gagal membawa pulang pingat setelah tewas 1-2 kepada Singapura dalam penentuan tempat ketiga dan keempat.

Sementara itu, Thailand mengungguli temasya kali ini apabila mengutip keseluruhan 106 pingat emas, 94 perak dan 80 gangsa, mengatasi tuan rumah, Myanmar di tempat kedua dengan 84 emas, 61 perak dan 85 gangsa.

Vietnam di tempat ketiga setelah mengumpul 73 emas, 85 perak dan 86 gangsa manakala Indonesia berada pada kedudukan keempat apabila meraih 64 emas, 83 perak dan 109 gangsa.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment