Tuesday, December 24, 2013

Mohd Faizal Cipta Kejutan, Sumbang Pingat Emas Ke-43 Negara

NAYPYITAW, 21 Dis (Bernama) -- Atlet muay thai, Mohd Faizal Ramli mencipta kejutan apabila meraih emas bagi kategori 75kg, sekali gus menyumbang pingat emas ke-43 negara dalam temasya Sukan SEA ke-27 Myanmar.

Beliau mengalahkan peserta tuan rumah Aung Myint Win dengan 2-1 dalam aksi yang mendebarkan di Stadium Tertutup Tinju Wunna Theikdi, di sini hari Sabtu.

Pingat gangsa diraih oleh P. Angga dari Indonesia yang kalah kepada Mohd Faizal dalam saingan separuh akhir, Khamis lepas.

Atlet berusia 24 tahun itu yang ditemui pemberita selepas majlis penyampaian pingat, tidak menyangka menjadi penyumbang pingat emas terakhir untuk negara.

"Secara jujurnya saya tidak sangsi dengan kemampuan saya, tetapi memikirkan keputusan juri yang sentiasa berat sebelah... apatah lagi saya beraksi menentang atlet Myanmar pada hari ini," kata Mohd Faizal.

Kontinjen negara melepasi sasaran 40 pingat emas yang diletakkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang dicapai menerusi Muhammad Nazreen Abdullah dan Ooi Tze Liang dalam acara 10m platform seirama lelaki di Pusat Akuatik Wunna Theikdi.

Mengulas lanjut, Mohd Faizal mengakui kebanjiran penonton tuan rumah dalam aksi final itu turut sedikit sebanyak memberi tekanan kepadanya.

"Saya tidak dapat mendengar sorakan dan kata-kata perangsang daripada rakan sepasukan dan jurulatih memandangkan penyokong yang hadir sentiasa menyorak perkataan 'Myanmar'," katanya.

Sementara itu pengurus pasukan Saifulnizam Mohd Shahar berpuas hati dengan pencapaian skuad itu memandangkan Persatuan MuayThai hanya meletakkan sasaran satu emas.

Emas pertama pasukan diraih oleh Mohd Lokman Akimi Mat Roji bagi kategori 51kg lelaki, mengalahkan wakil Vietnam, Nguyen Ngo Trieu Nhat dengan 3-0.

"Harapan persatuan memang amat tinggi memandangkan sukan ini baharu sahaja mendapat sokongan daripada MSN dan MOM selain memastikan sukan ini dapat mengharumkan nama negara bersama sukan-sukan teras yang lain," kata Saifulnizam.

Beliau bagaimanapun melahirkan dukacita dengan sistem pengadilan yang disifatkannnya lebih memihak kepada peserta tuan rumah.

"Kita memang kurang berpuas hati dengan sistem penjurian pada kali ini kerana secara logiknya empat peserta kita patut layak beraksi ke final tetapi dua daripada mereka dinafikan oleh sistem penjurian yang amat buruk," katanya.

Selain dua emas, Malaysia turut meraih tiga pingat gangsa menerusi tiga atlet lelaki iaitu Mohd Sukri Hassan (48kg), Ain Kamaruddin (57kg) dan Mohd Rafi Abdul Manaf (60kg).


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment