Tuesday, December 24, 2013

Mohd Jironi Layak Dijulang Atlet Terbaik Negara Pada Sukan Sea Myanmar

NAYPYITAW, 22 Dis (Bernama) -- Temasya Sukan SEA yang melabuhkan tirainya Ahad selepas berlangsung secara rasmi pada 4 Dis lepas, ternyata berjaya menampilkan beberapa muka-muka lama yang meneruskan tradisi kecemerlangan negara masing-masing di samping kemunculan barisan atlet-atlet muda yang berbakat di pentas sukan Asia Tenggara.

Malaysia yang menghantar 556 atlet juga berjaya menonjolkan beberapa muka baharu pada edisi kali ini terutamanya daripada arena olahraga yang berlangsung di Stadium Olahraga Wunna Theikdi, seperti Muhammad Hakimi Ismail dari acara lompat kijang lelaki, Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera lelaki) dan Nauraj Singh Randhawa menerusi acara lompat tinggi lelaki.

Namun berbeza pula pandangan yang disuarakan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong yang menyifatkan pelari jarak sederhana negara, Mohd Jironi Riduan yang meraih dua emas menerusi acara 800 dan 1,500 meter lelaki sebagai atlet terbaik negara.

Menurut Zolkples, Mohd Jironi yang kini bertugas sebagai seorang pendidik di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Johor layak diangkat sebagai atlet terbaik berdasarkan semangat serta keazaman yang tinggi untuk menghadirkan kilauan emas kepada kontinjen negara meskipun berada pada penghujung karier.

"Secara peribadi, saya berpendapat Mohd Jironi merupakan atlet terbaik negara berdasarkan semangat serta keazaman beliau...tambahan pula dengan umur yang semakin meningkat, saya percaya ini menjadi penampilan terakhir beliau pada Sukan SEA," kata Zolkples.

Mohd Jironi sebelum ini dilaporkan sudah membuat keputusan untuk tidak mewakili negara pada Sukan SEA 2015 di Singapura bagi memberikan tumpuan penuh selaku seorang pendidik.

Beliau mewakili negara bermula pada edisi 2007 di Thailand namun pulang dengan tangan kosong sebelum mempamerkan peningkatan dengan meraih dua perak dalam acara 800m dan 1,500m pada edisi 2009 di Laos.

Pada edisi 2011 di Indonesia, pencapaian tempat ketiganya dibatalkan dalam acara 800m kerana beliau dikatakan menolak pelari lain.

Selain Mohd Jironi, lapan atlet lain turut meraih dua pingat emas masing-masing iaitu Muhammad Nazreen Abdullah (terjun); Christina Loh (renang); Mohd Sulaiman Muda (ekuestrian-perlumbaan kuda lasak); Lim Chee Wei, A. Nisha, S. Shree Sharmini, Syakilla Salni Jefry Krisnan (karate) dan Khairul Anuar Mohamad dari sukan memanah.

Sejumlah 64 orang atlet menerusi program pelapis kebangsaan turut mempamerkan kecemerlangan selepas menyumbang sembilan pingat emas, empat perak dan 12 gangsa.

Sembilan emas berkenaan disumbangkan oleh Muhammad Irfan dan Nauraj Singh dari olahraga; Leong Theng Kuang, Leong Tze Wai, Lim Chee Wei;S. Sentil Kumaran; S. Shree Sharmini (kesemuanya karate); Eddy Chew (menembak); Nursyazreen A Malik dan Norhamizah Abu Hassan (pencak silat) serta Phoon Eyin dari sukan wushu.

Edisi kali ini turut menyaksikan enam atlet turut berjaya mencatatkan rekod baharu kebangsaan dalam acara masing-masing.

Mereka ialah Iskandar Alwi menerusi acara lompat bergalah lelaki menerusi catatan 5.10m berbanding rekod lama 5.01m; Muhammad Hakimi dalam acara lompat kijang lelaki;16.44m(16.29m) dan Jackie Wong Siew Cheer menerusi acara baling tukul besi lelaki dengan catatan 59.75m(59.53m).

Turut mencatatkan rekod baharu kebangsaan ialah Muhammad Irfan menerusi acara lempar cakera lelaki dengan catatan 53.16m (49.90m); atlet angkat berat wanita kelas 69kg, Norkhasida Abd Halim dengan angkatan 188kg(185kg) serta kuartet 4x100m gaya bebas lelaki (Lim Ching Hwang/Welson Sim/Vernon Lee/Daniel Bego) menerusi catatan masa 3 minit 26.98s(3:27:87s).

Temasya Sukan SEA yang dianjurkan buat kali ketiga oleh Myanmar selepas 1961 dan 1969, turut menyaksikan Arif Alauddin Wafi Akhramsyah yang berusia sembilan tahun menjadi atlet termuda manakala Ibrahim Amir, 52 dari sukan snuker merupakan atlet tertua yang mewakili negara.

Secara keseluruhannya, kontinjen negara yang diketuai oleh Datuk Amiruddin Embi berjaya melepasi sasaran 40 emas yang diletakkan oleh MSN apabila memungut 43 pingat emas, 38 pingat perak dan 77 pingat gangsa.


Daripada Mazani Chan Yat Sin
  -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment