Tuesday, December 24, 2013

Aksi Kontinjen Negara Di Myanmar Agak Mengecewakan


NAYPYITAW, 22 Dis (Bernama) -- Aksi kontinjen negara di Sukan SEA Myanmar yang melabuhkan tirai hari ini dapat disimpulkan sebagai 'sederhana' walaupun berjaya meraih 43 pingat emas, 38 perak dan 77 gangsa.

Pencapaian itu walaupun melepasi sasaran 40 emas, masih dilihat kurang memberansangkan apabila Malaysia hanya muncul juara dalam tiga daripada 29 acara yang disertai.

Ia juga menyaksikan kontinjen negara yang membarisi 556 atlet menamatkan saingan pada kedudukan keseluruhan di tempat kelima berbanding keempat pada edisi 2011 di Indonesia.

Lebih mengecewakan, skuad bola sepak bawah 23 tahun negara bukan sahaja gagal mempertahankan 'ibu segala pingat emas' pada temasya kali ini, malah menamatkan saingan di tempat keempat.

Namun, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong tetap gembira dengan pencapaian kontinjen negara, kerana menurutnya bukan satu perkara mudah untuk mencapai sasaran tersebut.

Apatah lagi, sukan kegemaran negara yang sering menyumbangkan banyak pingat emas seperti tenpin boling dan berbasikal trek tidak dipertandingkan pada temasya di Myanmar.

"Sejak dua, tiga bulan lepas, saya ragu-ragu kita boleh mencapai sasaran tetapi sudah terlalu lewat untuk dikaji semula. Kita tidak dapat sertai banyak acara...malah ada atlet kita yang cedera.

"Jadi kita ambil risiko. Kita menghadapi tekanan (mencapai sasaran 40 emas) tetapi perkara itu sudah biasa. Hanya pada hari terakhir kita berjaya mencapai sasaran," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Zolkples berkata aksi atlet negara pada temasya itu boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu cemerlang, sederhana dan gagal.

Katanya 13 sukan dikategorikan cemerlang bukan sahaja mencapai sasaran, malah mengatasinya iaitu akuatik (renang dan terjun), badminton, billiard & snuker, bina badan, ekuestrian, hoki, karate, memanah, menembak, muay, pelayaran dan wushu.

Sukan diklasifikasikan sederhana ialah angkat berat, golf, olahraga, pencak silat, taekwondo dan tinju manakala empat sukan dikategorikan gagal iaitu berbasikal, bola sepak, memanah (compound) dan sepak takraw.

Zolkples berkata kontinjen negara menjadi juara dalam tiga sukan iaitu terjun yang menyapu bersih lapan emas, hoki yang meraih kedua-dua emas bagi lelaki dan wanita serta karate yang memenangi tujuh daripada 17 emas.

"Sebanyak 14 sukan yang menyumbangkan pingat emas merupakan sukan-sukan utama yang dipertandingkan di Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik," katanya.

Beliau berkata kejayaan kontinjen negara meraih 43 emas itu menerusi sembilan sukan program elit/pelapis dan lima sukan program khas iaitu bina badan, ekuestrian, muay, pencak silat dan snuker.

Zolkples turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa mengikuti perkembangan prestasi atlet negara di Myanmar di samping memberi peransang supaya mereka melakar kejayaan.

"Sokongan Perdana Menteri amat penting dalam menaikkan semangat atlet. Saya juga mengucapkan tahniah kepada atlet, jurulatih dan pegawai kontinjen negara," katanya.

Beliau berkata selepas ini, tumpuan atlet negara adalah untuk menghadapi temasya lebih besar iaitu Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, kedua-duanya tahun depan.

Thailand mengungguli temasya kali ini apabila meraih 107 pingat emas, 94 perak dan 81 gangsa manakala tuan rumah, Myanmar di tempat kedua dengan 85 emas, 62 perak dan 85 gangsa.

Vietnam di tempat ketiga dengan mengutip 73 emas, 86 perak dan 86 gangsa sementara Indonesia keempat dengan meraih 65 emas, 84 perak dan 110 gangsa.

Pada temasya edisi ke-27 ini, Malaysia menyertai 287 dari 460 acara, membabitkan 29 daripada 33 sukan yang dipertandingkan.


Daripada Elmi Rizal Elias -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment