Tuesday, December 24, 2013

Kejayaan Capai Sasaran 40 Emas Bukti Atlet Negara Mampu Penuhi Harapan Rakyat - Zolkples


NAYPYITAW, 21 Dis (Bernama) -- Kejayaan mencapai sasaran 40 pingat emas di Sukan SEA Myanmar membuktikan atlet negara mampu memenuhi harapan 28 juta rakyat Malaysia terhadap mereka, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong.

Sambil mengucapkan tahniah kepada atlet negara, beliau berkata dalam apa jua keadaan, mereka memang bersedia mengotakan sasaran tersebut.

"Sebelum ini, kita berusaha keras mendapatkan sebanyak mungkin pingat emas dan saya lega kerana kita dapat mencapai sasaran 40 emas. Tahniah kepada atlet...saya bersyukur," katanya.

Beliau ditemui pemberita sejurus selepas gandingan Ooi Tze Liang/Muhammad Nazreen Abdullah menyumbangkan emas ke-40 negara apabila mengungguli acara 10m platform seirama lelaki di Pusat Akuatik Wunna Theikdi di sini, hari Sabtu.

Sebelum itu, Malaysia hari ini memperoleh emas ke-39 menerusi Mohd Lokman Hakimi dalam acara 51kg muay thai.

Zolkples turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa memberi sokongan dan perangsang kepada atlet negara untuk beraksi cemerlang pada temasya dwitahunan ini.

"Terima kasih juga kepada Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin) dan Kementerian Belia dan Sukan yang sentiasa memberi sokongan kepada kontinjen negara," katanya.

Zolkples berkata pencapaian yang membanggakan itu perlu diteruskan kerana atlet negara perlu menghadapi banyak temasya besar pada masa akan datang.

Sukan Komanwel akan berlangsung di Glasgow, Scotland manakala Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, kedua-duanya tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Presiden Kesatuan Renang Amatur Malaysia (Asum) turut hadir di pusat akuatik itu untuk memberi sokongan kepada penerjun negara, yang menyapu bersih kesemua lapan pingat emas yang ditawarkan dalam acara terjun.


Daripada Elmi Rizal Alias -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment