Friday, December 6, 2013

Kim Swee Senarai 20 Pemain Utama Galas Cabaran Negara Pada Sukan SEA Myanmar

PETALING JAYA, 5 Dis (Bernama) -- Ketua Jurulatih skuad Harimau Muda A (bawah 23 tahun) Datuk Ong Kim Swee hari ini mengumumkan senarai 20 pemain yang akan menggalas cabaran negara di Sukan SEA Myanmar.

Beliau berkata senarai akhir itu diputuskan selepas mengadakan perbincangan lanjut dengan Pengurus Pasukan Datuk Seri Afandi Hamzah, yang merupakan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, selain barisan kejurulatihan dan doktor pasukan berkenaan.

Katanya, beliau terpaksa mengetepikan beberapa pemain utama, termasuk pemain sayap Wan Zaharulnizam Wan Zakaria yang dilanda kecederaan pangkal paha dan memerlukan tempoh rawatan antara dua hingga empat minggu.

"Jadi, saya terpaksa mengeluarkan beliau daripada senarai asal saya namun saya masih mempunyai beberapa pemain yang boleh menggantikan tempat beliau seperti D. Saarvindran dan Ashri Chuchu.

"Selain itu, saya juga mempunyai Mohd Azrif Nasrulhaq (Badrul Hisham) yang boleh bermain di sayap kanan serta Nazirul Naim (Che Hashim) yang boleh beraksi di sayap kiri... jadi, saya tidak nampak sebarang masalah," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.

Kim Swee berkata beliau sedia berdepan sebarang tekanan di Myanmar namun tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu kerana fokus utamanya kini ialah mempertahan pingat emas yang dimenangi pada 2011 di Indonesia.

"Tekanan sentiasa ada, terutamanya seluruh rakyat negara ini mengharapkan kita mengekalkan pingat emas dan bagi saya, ia merupakan satu cabaran dan kita harus terima cabaran berkenaan dengan cukup positif," katanya.

Jurulatih berusia 42 tahun itu berkata beliau sudah menyusun strategi tersendiri bagi memastikan para pemain mengekalkan kecergasan masing-masing memandangkan mereka dijadual beraksi pada empat perlawanan pusingan awal dalam tempoh seminggu.

"Yang mustahak ketika ini ialah pemain kekal fokus dengan semua perlawanan yang kita lalui dan tidak diganggu oleh perkara yang boleh menyebabkan mereka hilang konsentrasi," katanya.

Berkongsi pandangan sama ialah Kapten skuad berkenaan Mohd Irfan Fazail, yang menggesa rakan sepasukan tidak terbawa-bawa dengan provokasi daripada pasukan lain, terutama tuan rumah iaitu Myanmar.

"Bagi saya sendiri, saya cuba beri yang terbaik dan menaikkan semangat rakan sepasukan supaya kita dapat mengekalkan pingat emas.

"Semua pemain kita sudah bersedia dari segi mental dan fizikal apabila berlepas ke sana (Myanmar) nanti," kata pemain yang bakal mewakili pasukan Liga Super, Johor Darul Ta'zim, musim depan.

Pandangan Mohd Irfan turut dikongsi pemain tengah skuad berkenaan Muhammad Nazmi Faiz Mansor, yang berharap mampu mengekalkan persembahan ketika membantu Malaysia meraih pingat emas pada edisi 2011.

"Saya akan gunakan segala pengalaman beraksi pada Sukan SEA di Indonesia dua tahun lepas untuk memastikan pingat emas terus kekal menjadi milik pasukan kita," kata perancang tengah pasukan Liga Super, Selangor PKNS FC itu.

Senarai 20 pemain ke Sukan SEA Myanmar:

Mohd Farhan Abu Bakar, Mohd Izham Tarmizi Roslan, Muhammad Zubir Mohd Azmi, K. Reuben, Shahrul Mohd Saad, Mohd Fadhli Mohd Shas, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris, Nazirul Naim Che Hashim, Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, D. Kenny Pallraj, Mohd Irfan Fazail (Kapten), Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Ashri Chuchu, Mohamad Nasir Basharuddin, S. Sivanesan, D. Saarvindran, A. Thamil Arasu, Md Rozaimi Abd Rahman, Ahmad Hazwan Bakri dan Izzaq Faris Ramlan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment