Friday, December 6, 2013

Chinlone Terus Jadi Penyumbang Utama Pingat Negara

NAYPYITAW (Myanmar), 5 Dis (Bernama) -- Skuad Chinlone terus menjadi penyumbang utama kutipan pingat negara pada hari kedua Temasya Sukan SEA ke-27 menerusi dua lagi pingat gangsa dalam acara tahap dua kategori lelaki dan wanita.

Thailand merampas tempat pertama kedudukan pingat daripada tuan rumah Myanmar setelah berjaya menambah dua pingat emas Khamis menerusi acara Chinlone tahap dua kategori lelaki dan wanita.

Kontinjen 'Gajah Putih' itu secara keseluruhan kini mengumpul dua pingat emas dan dua perak.

Tiada acara melibatkan atlet Myanmar pada Khamis menyebabkan kontinjen tuan rumah jatuh di kedudukan kedua carta pingat dengan kutipan kekal dua pingat emas.

Kemboja mendahului Malaysia satu anak tangga selepas berjaya menambah satu pingat perak dengan kutipan keseluruhan satu pingat perak dan satu pingat gangsa.

Malaysia berada di tempat keempat carta kutipan pingat selepas mengumpul empat pingat gangsa.

Pada hari Jumaat, tumpuan kutipan pingat negara masih pada acara Chinlone apabila Malaysia meletakkan sasaran pingat perak untuk acara tahap 1 lelaki.

Juga beraksi pada hari ketiga kejohanan Jumaat ialah pasukan Chinlone wanita dan skuad polo air negara yang akan menentang Singapura pada perlawanan peringkat kumpulan.


--BERNAMA

No comments:

Post a Comment