Friday, December 6, 2013

Chinlone tambah dua gangsa



Nay Pyi Taw: Chinlone terus menyumbang pingat gangsa buat kontinjen negara menerusi skuad lelaki dan wanita negara dalam acara Tahap 2 di Stadium Tertutup Wunna Theikdi B semalam.
Skuad lelaki negara menamatkan saingan di kedudukan keempat peringkat awal dengan mengumpul 188 mata di belakang Thailand (256 mata), Kemboja (246 mata), Laos (215 mata) selain Singapura yang sekadar meraih 109 mata.

Kedudukan keempat itu membolehkan skuad negara meraih gangsa, berkongsi bersama Laos manakala Thailand menewaskan Kemboja 256-236 di peringkat akhir untuk meraih emas.

“Saya sedikit terkilan kerana gagal memintas Laos untuk kedudukan ketiga namun pemain sudah memberikan yang terbaik. Esok (hari ini) saya harap kami mampu ke final dalam acara Tahap 1 untuk sekurang-kurangnya meraih perak,” kata jurulatih lelaki negara Nurudin Pawi.

Saingan kategori wanita pula menyaksikan hanya tiga pasukan bersaing dengan skuad negara kendalian Fikri Mohd Noor mengumpul 110 mata untuk meraih gangsa manakala Thailand meraih emas selepas menewaskan Laos di final.

Skuad negara menyumbang dua pingat gangsa menerusi acara Tahap 3 kelmarin dan saingan akan diteruskan hari ini dengan aksi peringkat awal Tahap 1 lelaki dan wanita dengan acara akhir berlangsung esok.


Azlan Muhammad Zain - Arena, Harian Metro

No comments:

Post a Comment