Friday, December 13, 2013

Khairy Puji Mutu Penganjuran Sukan SEA Ke-27



NAYPYITAW, 13 Dis (Bernama) -- Kerajaan Malaysia memuji mutu tinggi penganjuran temasya Sukan SEA ke-27 apabila kerajaan Myanmar dilihat bersungguh-sungguh dalam menyediakan kemudahan bagi memastikan kejayaan temasya dwitahunan itu.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan mutu penganjuran temasya edisi ke-27 ini dan kerajaan Myanmar telah mengeluarkan belanja yang besar setelah sekian lama tidak menjadi tuan rumah bagi temasya ini.

Kali terakhir Myanmar yang ketika itu dikenali sebagai Burma menjadi tuan rumah acara Sukan SEA ialah pada tahun 1959.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada tuan rumah kerana telah berjaya menganjurkan temasya ini dengan jayanya walaupun terdapat beberapa kelemahan kecil terutama dari segi logistik, namun saya percaya bahawa kerajaan Myanmar mengambil berat tentang perkara ini," katanya kepada pemberita ketika membuat lawatan singkat ke Pusat Media temasya Sukan SEA ke-27 dekat sini Jumaat.

Khairy turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur kerana telah menyediakan kawalan keselamatan yang ketat terutama di sekitar venue kejohanan bagi memastikan keselamatan atlet, pegawai dan media Malaysia yang membuat liputan di temasya itu.

"Kita amat mengalukan tahap keselamatan tinggi yang disediakan pihak berkuasa Myanmar kerana sebelum ini kita risau dengan keselamatan kontinjen negara apabila berlaku insiden letupan bom di beberapa wilayah bergolak namun kerajaan Myanmar telah berjaya mengawal keadaan tersebut dan ia tidak menjejaskan penganjuran sukan," katanya.

Apabila ditanya mengenai pencapaian kontinjen negara sepanjang sepuluh hari berlangsung, Khairy berkata beliau berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan atlet setelah beberapa acara sukan berjaya mencapai sasaran.

"Berdasarkan pencapaian semasa saya yakin tidak mustahil untuk kita capai sasaran 40 pingat emas yang telah diumumkan sebelum ini," katanya.

Beliau bagaimanapun kurang berpuas hati dengan pencapain beberapa acara sukan yang dilihat merosot.

"Secara keseluruhan pencapaian atlet baik namun terdapat beberapa kelemahan pada sukan tertentu seperti Sepak takraw, badminton dan renang yang terlepas beberapa pingat semalam.

"Kita perlu ada satu rancangan bagi memberi fokus kepada sukan teras ini untuk memastikan kejayaan apabila Malaysia menjadi tuan rumah pada edisi 2017 nanti...saya akan panggil Majlis Sukan Negara, MOM dan persatuan sukan terbabit duduk semeja bagi membincangkan perkara tersebut," katanya.

Mengulas mengenai tindakan jurulatih Karate negara, Andris Vasiljevs mengahalang media negara membuat liputan ketika sesi latihan semalam, Khairy berkata beliau tidak pasti apa yang sebenarnya berlaku, namun katanya media seharusnya diberi peluang untuk melakukan liputan berita perkembangan atlet negara di sini.

"Saya harap media akan diberi lebih peluang dalam membuat liputan apabila terdapat permintaan dan perlu ada penyelarasan di antara pengurus pasukan dan jurulatih dan kita akan cuba selesaikan perkara ini dengan segera," katanya.




-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment