Friday, December 13, 2013

Sazali Optimis Atlet Bina Badan Mampu Raih Lebih Banyak Pingat Emas

 
 
YANGON, 13 Dis (Bernama) -- Ikon bina badan negara Sazali Samad yakin atlet bina badan mampu meraih lebih banyak pingat emas dalam temasya Sukan SEA ke-27 yang sedang berlangsung di sini.

Katanya atlet seperti Buda Anchah dan Muhammad Roszaimi mempunyai peluang besar untuk meraih pingat buat kontinjen negara pada temasya dwitahunan kali ini.

"Bagi saya inilah masanya untuk kita memberikan yang terbaik buat negara selepas dua edisi acara bina badan tidak dipertandingkan.

"Sekarang ini saya perlu mengurangkan 800 gram lagi berat badan saya sebelum hari pertandingan, jadi saya ke sauna untuk mengurangkan berat badan," katanya kepada pemberita di sini.

Sazali akan mengambil bahagian dalam kategori 70kg, Mohd Naim Ponngoh (55kg), Muhammad Roszaimi (60kg), Buda Anchah (80kg) dan Wong Ngai Hoeng (90kg). Acara mereka akan berlangsung Sabtu dan Ahad ini di Pusat Konvensyen Myanmar.

Kali terakhir Sazali meraih pingat emas ialah di Sukan SEA 2003 di Vietnam dan pingat perak pada 2005 di Filipina.

Acara bina badan tidak dipertandingkan ketika Sukan SEA Laos 2009 dan Jakarta 2011.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment