Friday, December 13, 2013

Awas perangkap Laos - Kim Swee

NAY PYI TAW - Apa yang terjadi kepada pasukan Singapura yang seri 1-1 dengan Laos perlu dijadikan pedoman buat Harimau Muda agar tidak terperangkap dengan strategi licik lawan.

Apatah lagi memperlihatkan pasukan negara sekadar menang 2-0 semasa berdepan Brunei, jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee, mengakui perlu merombak strategi untuk memastikan kemenangan kedua.

''Beberapa perubahan akan dilakukan dalam beberapa aspek iaitu saya akan menggunakan dalam dua atau tiga muka baru dalam kesebelasan utama.

''Perubahan itu akan lihat pada bahagian tengah dan pertahanan memandangkan kita telah berjumpa dengan Laos sebanyak tiga kali pada tahun ini.

''Laos merupakan sebuah pasukan yang sedang meningkat naik terutama dalam aspek corak serangan balas, mereka sebuah pasukan yang cukup berbahaya," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pasukan negara di Kompleks Sukan Wunna Theikdi.

Melihatkan kepada corak latihan pasukan negara petang semalam, Kim Swee dilihat cenderung menggunakan khidmat pemain Perak, Mohd. Nasir Basharudin di bahagian tengah dan menggantikan Mohd. Nazmi Faiz Mansor.

Selain itu, bakal penyerang Selangor, Ahmad Hazwan Bakri, menjadi satu lagi pilihan di barisan serangan selain Izzaq Faris Ramlan dan Mohd. Rozaimi Abd. Rahman.

Walaupun bermain dengan 10 pemain semenjak minit ke-2, Laos berjaya bertahan dengan baik malahan mampu menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-86 melalui Khuanta Sivongthong.
Pemain Laos yang paling dibimbangi Kim Swee adalah penyerang yang memakai jersi sembilan, Sopa Saysana.

''Pemain ini saya sifatkan cukup berbahaya kerana kepantasan dan bijak mencari ruang di dalam kotak penalti. Saya percaya dia akan bermain dalam perlawanan esok dan pergerakannya perlu diawasi sepanjang permainan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment