Wednesday, November 6, 2013

Malaysia tuan rumah Sukan SEA 2017


SUBANG - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengesahkan Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 selepas jemaah menteri meluluskan pembentangan di Mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan minggu lepas.

Menurut Khairy, beliau telah membentang kertas kerja mengenai kesediaan Malaysia menjadi tuan rumah temasya dwi tahunan itu walaupun jika mengikut penggiliran sepatutnya kita hanya menganjurkannya pada 2019.

Temasya 2017 sepatutnya giliran Brunei, tetapi negara jiran itu meminta penangguhan daripada Persekutuan Sukan SEA.

"Persekutuan Sukan SEA meminta kita menjadi tuan rumah edisi 2017 selepas Singapura pada 2015, kita tidak pernah menolak ketika tiba giliran menjadi tuan rumah jadi selepas ia bakal dianjurkan dua tahun lebih awal, saya perlu membentangkan perkara ini kepada jemaah menteri dan kabinet setuju untuk Malaysia menjadi tuan rumah pada 2017," katanya selepas merasmikan Kejohanan Menembak Asia Tenggara kali ke-37 semalam.

Jelasnya, sekarang ini Majlis Olimpik Malaysia (MOM) perlu menulis secara rasmi kepada Persekutuan Sukan SEA tentang kesediaan Malaysia menjadi tuan rumah pada 2017 dan secara automatik juga menjadi Kejohanan Para Asean juga akan diadakan pada tahun yang sama.

"Selain membentangkan anggaran belanjawan Sukan SEA 2017 saya juga telah menyatakan bahawa kita tidak akan membina sebarang kemudahan atau prasarana baharu kecuali velodrom untuk acara berbasikal trek di Nilai.

"Ini bermakna segala kemudahan yang sedia ada akan dinaik taraf atau dibaikpulih, dalam masa yang sama kita juga tidak membina perkampungan sukan yang baharu dan hanya menggunakan hotel sedia ada untuk tujuan tersebut supaya dapat mengawal kos," katanya.

Kata Khairy, memang Malaysia mahu menjadi penganjur Sukan SEA yang cemerlang tetapi dalam masa yang sama perlu sensitif tentang kedudukan kewangan sekarang.

"Kita juga telah mencadangkan kepada kabinet untuk membawa beberapa acara ke Sabah dan Sarawak tetapi perlu mengkaji dengan lebih mendalam kerana ia melibatkan kos. Keputusan muktamad tentang kajian kos akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

"Selain Sabah dan Sarawak berkemungkinan juga beberapa acara Sukan SEA 2017 akan dibawa luar dari Kuala Lumpur seperti pelayaran di Pulau Langkawi, berbasikal trek di Nilai dan berbasikal lebuh raya di Johor.

"Ada cadangan dari rakan sejawat saya di Singapura, Lawrence Wong sebelum ini untuk mengadakan acara berbasikal lebuh raya dari Singapura ke Johor sebelum patah balik semula ke Singapura pada Sukan SEA 2015.

"Jadi kita akan melakukan perkara yang sama pada 2017 nanti iaitu dari Johor ke Singapura patah balik semula ke Johor supaya perkara ini ada kesinambungan.

"Tentang Sabah dan Sarawak kita perlu membuat kajian terperinci agar kos tidak terlalu tinggi. Sarawak sudah membina pusat akuatik bertaraf antarabangsa jadi acara renang dan terjun boleh diadakan di sana," katanya.

No comments:

Post a Comment