Wednesday, November 6, 2013

Tiada acara syok sendiri

PERLUMBAAN bot tradisional antara acara yang tidak pernah disertai Malaysia sejak ia dipertandingkan pada Sukan SEA 1993. Sukan tersebut digugurkan ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah 2001, selain di Laos 2009 dan Brunei 1999. 
 
 
SUBANG - Sejak kebelakangan ini tuan rumah Sukan SEA sering menambah acara berbentuk sukan tradisional sebagai jalan singkat untuk meraih lebih banyak pingat emas, namun Malaysia dijangka tidak akan menggunakan taktik tersebut selepas diberi lampu hijau oleh kabinet untuk menjadi tuan rumah pada 2017.

Menurut Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong, pemilihan acara untuk temasya dwitahunan itu harus dilakukan dengan lebih teliti, tambahan pula beliau adalah seorang yang sangat kritikal tentang acara yang akan dipertandingkan.

"Kita perlu tunjuk contoh terbaik kepada negara lain tentang jenis acara yang akan dipertandingkan, ini kerana Sukan SEA adalah medan terbaik untuk menyediakan atlet sebelum beraksi di temasya lebih tinggi seperti Sukan Komanwel, Sukan Asia dan tidak terkecuali Sukan Olimpik," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Kejohanan Menembak Asia Tenggara kali ke-37.

Pada Sukan SEA 2003 Vietnam beberapa acara baharu telah diperkenalkan dan ia lebih kepada sukan tradisional iaitu renang sirip dan sepak bulu ayam, manakala di Sukan SEA 2005 Filipina acara arnis pula diadakan oleh tuan rumah, manakala Indonesia di Sukan SEA 2011 mempertaruhkan acara bridge, kenpo, paragliding, vovinam dan panjat tembok.

Kesinambungan memperkenalkan acara sukan tradisi diteruskan oleh Myanmar menjelang temasya tersebut bulan depan apabila mereka menambah dua lagi acara yang iaitu chinlone dan perlumbaan bot tradisional.

"Kita tidak akan mengadakan acara yang hanya diadakan untuk satu temasya sahaja, ia merugikan dari segi kewangan dan masa. Kita juga akan menjadi contoh negara lain apabila akan mengumumkan acara yang akan dipertandingkan lebih awal.

"Kita tidak mahu tunggu di saat akhir untuk mengumumkan acara yang dipertandingkan kerana mahu memberi peluang negara lain membuat persediaan sementara di pihak kita pula mahu tentukan hotel bagi perkampungan sukan. Semua perlu dimaklumkan lebih awal," katanya.

Zolkples mengakui, Malaysia tidak perlu menggunakan kelebihan untuk menyusahkan negara lain tetapi menggunakan kekuatan yang ada pada atlet sendiri, dalam masa yang sama tidak perlu untuk memanipulasi peraturan yang ditetapkan.

Sementara itu Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata, pengumuman secara rasmi Malaysia menjadi tuan rumah akan diadakan pada Mesyuarat Persekutuan Sukan SEA pada 10 Disember sehari sebelum upacara perasmian Sukan SEA 2013 Myanmar di Nay Pyi Taw.

"Penganjuran ini sangat baik buat kita kerana boleh membuat persediaan untuk Sukan Asia 2019 Vietnam, jadi kita perlu bermula dari sekarang untuk menubuhkan jawatankuasa walaupun terlalu awal tetapi perlu menjadi lebih baik mengulangi kejayaan 2001 baik dari segi penganjuran mahupun kekuatan atlet.

"Bajet kasar penganjuran Sukan SEA 2017 lebih kurang RM80 juta tetapi kita meletakkan sasaran untuk mengutip pulangan semula RM60 juta sedikit-sebanyak mengurangkan beban kerajaan," katanya yang berharap dapat bekerjasama dengan baik bersama MSN untuk penganjuran tersebut.

Beliau akan menulis surat kepada Persekutuan Sukan SEA secepat mungkin kerana ini adalah satu kejohanan yang penting dan empat tahun bukan satu tempoh yang lama.

No comments:

Post a Comment