Wednesday, October 30, 2013

Bukan bayangan skuad sebenar


KIM SWEE (tengah) dalam persiapan membentuk barisan terbaik sebelum menghadapi Sukan SEA di Myanmar.


PELUANG mengasah taring sebelum misi mempertahan emas temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar.

Demikian jelas pengendali skuad Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee menjelang kejohanan jemputan - Piala BIDC 2013 yang bakal membuka tirainya di Phnom Penh, Kemboja esok.
Kim Swee berkata, senarai pelatih yang dipanggil kali ini bukan skuad sebenar yang bakal membawa cabaran negara bagi memburu pingat emas kali ketiga berturut-turut di bumi Myanmar nanti.

Sebaliknya, jelas beliau, kejohanan jemputan selama 11 hari itu mampu menjadi kayu pengukur kekuatan anak-anak buahnya memandangkan ia turut disertai skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara-negara pencabar Sukan SEA kelak seperti Kemboja, Vietnam, Laos, Myanmar dan Thailand.
"Ia bukan bayangan awal skuad sebenar Harimau Muda ke temasya Sukan SEA kelak.

"Saya percaya kejohanan Piala BIDC 2013 mampu menguji kekuatan sebenar kami terutamanya dengan gandingan pemain yang jarang diturunkan dalam mana-mana kejohanan sebelum ini.
"Saya harap pemain dapat memberikan yang terbaik untuk sekurang-kurangnya mara ke pentas final, tambahan pula pencabar kami di Kemboja juga merupakan skuad B-23 masing-masing," katanya kepada Kosmo! semalam.

Skuad kendalian Kim Swee yang mula menjalani latihan pagi semalam bakal berlepas ke Kemboja esok sebelum menguji skuad B-23 Jordan di tempat lawan pada 12 dan 14 November depan.
Kim Swee juga optimis pelatih yang dipanggil kali ini mampu menggalas tanggungjawab yang sempurna sekali gus memberikan lebih banyak alternatif buat beliau mengenal pasti skuad sebenar ke Myanmar kelak.

"Pemain tengah, Nazmi Faiz Mansor tidak turut serta bersama kami kali ini kerana terlibat dengan skuad kebangsaan (kempen kelayakan Piala Asia).
"Saya juga membuat keputusan tidak menyenaraikan Junior Eldstal kerana pemain itu belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan," jelas Kim Swee.

Daripada senarai 26 pelatih yang melapor diri semalam, lima daripadanya merupakan pemain 'luar' - Mohammad Nashir Basharuddin (Perak); S. Sivanesan (Negeri Sembilan); Mohd. Zubir Mohd. Azmi (Terengganu); Muhammad Safwan Hashim (Angkatan Tentera Malaysia) dan Ashri Chuchu dari Sarawak.

Dua pemain Harimau Muda B iaitu Wan Amirzafran Wan Nadris dan Muhammad Ridzuan Abduloh turut mendapat kepercayaan Kim Swee bersama gandingan peledak muda negara, Rozaimi Abd. Rahman dan A. Thamil Arasu.

Pada masa sama, tiga lagi tonggak muda negara iaitu Ahmad Hazwan Bakri, Izzaq Faris Ramlan dan Wan Zaharulnizam Zakaria yang sebelum ini diketepikan pada Pestabola Merdeka 2013 gara-gara kecederaan juga kembali tersenarai.

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment