PUTRAJAYA - Tidak mahu tekanan memakan diri, atlet menembak negara, Nur Suryani Mohamed Taibi memutuskan untuk tidak meletakkan sebarang sasaran pada Sukan SEA Indonesia 2011.
Sebaliknya, pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2010 New Delhi itu, lebih selesa untuk menjanjikan persembahan terbaik dalam penampilan kali keenam di temasya dwitahunan itu yang akan membuka tirai pada Jumaat depan.
"Saya akan cuba memberikan aksi terbaik di Indonesia nanti, setakat ini saya tidak meletakkan sebarang sasaran peribadi dan lebih menumpukan kepada latihan kerana banyak lagi yang perlu diperbaiki," katanya.
Suryani mencuri tumpuan tahun lepas apabila gandingannya dengan seorang lagi penembak negara, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim berjaya meraih pingat emas dalam acara 10 meter air raifal pada Sukan Komanwel di New Delhi.
Jelasnya, dia berada pada persiapan tahap terakhir sekarang ini sebelum mengambil bahagian di Sukan SEA dengan menyertai dua acara iaitu raifal tiga posisi dan air raifal bagi mengulangi pencapaian cemerlang di Korat selepas meraih dua emas.
"Saya juga tidak mahu fikir tentang lawan saya, ini kerana sesiapa sahaja boleh memberi cabaran. Ia berlaku di Laos dua tahun lalu apabila kami menjangkakan penembak senior akan memberi cabaran rupanya penembak remaja yang mencuri tumpuan," katanya.
Pada masa yang sama, Suryani juga masih menaruh harapan untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2012 London dan dia masih mempunyai satu peluang dalam kejohanan yang akan berlangsung Januari tahun depan.
UTUSAN MALAYSIA
No comments:
Post a Comment