Tuesday, November 1, 2011

Sepak takraw: Farhan raih semula posisi regu

KUALA LUMPUR - Ketika kehadiran acara berpasukan mulai mencetuskan tanda tanya dalam program Sukan SEA Indonesia 2011, skuad elit kini wajar lebih bertumpu kepada antara regu iaitu salah satu daripada dua acara sepak takraw yang terjamin untuk dilangsungkan pada temasya dwitahunan itu.

Tanpa acara beregu yang 'dikorbankan' Malaysia sejajar arahan had monopoli oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) sejak 2009, skuad elit mempertaruhkan semula kebanyakan pemain regu Siri Super I yang disekat Indonesia 2-3 dalam suku akhir di Bangkok, bulan lalu.

Dua tekong, Noor Azman Hamid dan Syazwan Husin dan dua pelibas, Norshahruddin Mad Ghani dan Fadzli Roslan terus diberi kepercayaan ke Sukan SEA di samping kembalinya pengumpan Farhan Adam yang menjadi harapan merampas semula sebutir pingat emas di Dewan Pameran dan Pelancongan Jakabaring, Palembang.

Farhan meraih semula posisi apit kiri itu daripada pemain pilihan kedua skuad elit, Faizul Hairy Osman yang nekad diuji tetapi gagal menyerlah dalam Siri Super I selepas Malaysia sekadar bergelar naib juara Piala Dunia Pertama di Stadium Titiwangsa, Julai lalu.

Namun, berbeza dengan acara berpasukan yang cuma disertai empat negara sekali gus berdepan kemungkinan besar dibatalkan, acara antara regu lelaki berjaya memikat penyertaan tujuh lagi negara iaitu tuan rumah, Brunei, Laos, Filipina, Singapura, Vietnam dan juara bertahan, Thailand.

Mereka akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan bermain dalam liga sepusingan dengan dua pasukan teratas setiap satu, bakal berentap pada separuh akhir, namun sudah menjamin sekurang-kurangnya sebutir gangsa kerana tiada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Malaysia dan musuh tradisi Thailand serta Laos tidak menyertai acara beregu lelaki yang kali pertama diperkenalkan pada Sukan SEA Filipina 2005 yang turut menyaksikan anak buah Jamaluddin Hassan ketika itu membawa pulang sebutir gangsa dari Cebu.



UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment