Wednesday, November 9, 2011

Pesilat fokus persembahan

SKUAD silat negara tiba di Jakarta dengan misi menuai dua emas bermula Ahad ini.
Skuad dibarisi 24 atlet akan beraksi di Gelanggang Pencak Silat Padepokan, Jakarta tentunya mahu memburu emas termasuk acara Seni yang pastinya akan dipengaruhi isu berat sebelah yang dijangka menyebelahi tuan rumah.

Isu itu memang sudah dijangka pesilat, Mohd Tajul Zaman, 22 yang akan beraksi dalam acara Seni Tunggal, Ganda dan Regu.
“Memang tak dapat dinafikan pengadilan berat sebelah akan menjadi isu dalam pertandingan ini tapi saya perlu fokus kepada persembahan saya,” kata Mohd Tajol.

Anak muda kelahiran Terengganu ini masih segar dengan beberapa siri kemenangan yang dilakar tahun ini.

Dia menang emas Seni Tunggal pada Kejohanan Asia di Cheras bulan lalu yang membabitkan pesilat Vietnam, Brunei dan Singapura selain beberapa negara Asia Tenggara lagi.

Malah dia turut meraih pengalaman dengan menyertai beberapa siri kejohanan di Singapura dengan pesilat Indonesia tidak mengambil bahagian.

“Ini adalah pengalaman pertama di Sukan Sea tapi saya harap dapat memungut pingat menerusi penampilan sulung ini.” Sementara itu, pesilat muka baru, Kamilah Sulong dan Siti Arfiyah Abd Jalil percaya mereka mampu meraih emas dalam acara Seni Ganda Putri.
“Kami baru digandingkan bulan lalu dan memiliki keserasian yang amat baik,” kata Kamilah.

Kamilah pernah beraksi bersama Maslinda Zakaria di Kejohanan Sukan Pantai Asia di Bali, Indonesia 2008. Malah dia dan Maslinda meraih gangsa di Kejohanan Asia di Cheras bulan lalu tapi terpaksa berpisah kerana masalah tak dapat dielakkan.

“Memang kami baru digandingkan tapi saya rasa kami ada keserasian, bukan hanya di gelanggang, malah ketika di luar,” kata Siti Arfiyah yang lebih banyak beraksi di pertandingan peringkat universiti.


HARIAN METRO

No comments:

Post a Comment