Wednesday, November 9, 2011

Arif makin teruja


ARIF bakal membuat penampilan pertama pada temasya Sukan SEA 2011.


PEMAIN perseorangan badminton negara, Mohd. Arif Abdul Latif semakin teruja untuk beraksi pada temasya Sukan SEA Indonesia 2011 yang bakal membuka tirai Jumaat ini.

Apa tidaknya, ia merupakan penampilan pertama Arif pada temasya dwitahu- nan itu.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai sasaran pingat di bumi Indonesia nanti, Arif lebih senang dilabel sebagai pemain underdog.

"Saya tidak meletakkan sebarang sasaran pada Sukan SEA kali ini memandangkan ia merupakan penampilan pertama saya dan saya lebih senang beraksi tanpa sebarang tekanan.

"Namun, sekiranya berjaya membawa pulang pingat tidak kiralah apa jua warna sekalipun, ia sudah boleh dianggap sebagai pencapaian yang baik untuk saya," kata Arif.

Bagaimanapun, Arif menjelaskan bahawa dia sebenarnya sudah tidak sabar untuk beraksi, apatah lagi selepas kejayaannya menempatkan diri dalam kelompok 16 pemain terbaik pada Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Emas Terbuka Jerman minggu lalu.

Malah, dia merasakan bahawa dirinya sudah banyak mempamerkan peningkatan dalam corak permainan serta tahap kecergasan selepas menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih perseorangan negara, Hendrawan.

"Kejayaan di Jerman pastinya memberikan suntikan semangat buat saya untuk melakukan yang terbaik di Indonesia pula.

"Selain itu, saya merasakan bahawa saya kini sudah banyak mempamerkan peningkatan dalam corak permainan saya dan tahap kecergasan saya juga berada pada prestasi terbaik.

"Malah, kawalan gelanggang saya ketika perlawanan juga semakin baik dan ia semua hasil tunjuk ajar Hendrawan.

"Saya percaya itu semua akan membantu saya menghadapi perlawanan pada Sukan SEA nanti," jelas Arif.
Selain acara perseorangan, Arif juga bakal menggalas cabaran Malaysia dalam acara berpasukan.


Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment