JAKARTA - Masalah sakit perut yang dialami penyerang utama, Izzaq Faris Ramlan, merencatkan perancangan jurulatih Ong Kim Swee untuk perlawanan kedua acara bola sepak Sukan SEA menentang Thailand, hari ini.
Menurut Kim Swee, Izzaq mengalami cirit birit sebelum perlawanan pertama menentang Singapura kelmarin, yang berakhir seri tanpa jaringan di Stadium Gelora Bung Karno.
Izzaq, hanya diturunkan pada 15 minit terakhir perlawanan bagi menggantikan A. Thamil Arasu pada perlawanan kelmarin.
''Sebenarnya masalah cirit birit yang dialami Izzaq menyebabkan dia tidak dapat beraksi kelmarin, namun saya tiada pilihan selain menurunkannya ketika menentang Singapura.
''Walaupun hanya beraksi 15 minit, kemasukannya memberi impak pada bahagian depan kita. Dia memiliki kelebihan kerana fizikalnya yang tinggi dan permainan pantas.
''Untuk perlawanan kedua menentang Thailand, saya tidak pasti akan menurunkan Izzaq. Ia bergantung kepada kecergasan pemain itu," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Masalah yang menimpa Izzaq merencatkan perancangan Kim Swee dalam memastikan jentera serangan skuad negara dapat berfungsi dengan baik pada aksi hari ini.
Selain perancangan yang terencat, masalah kesihatan yang dialami Izzaq menimbulkan persoalan bukan sahaja kepada Kim Swee kerana difahamkan tiga pemain Singapura turut mengalami masalah yang sama sejak sebelum perlawanan dengan Malaysia kelmarin.
Menurut Kim Swee, dia tidak tahu punca sebenar masalah yang dialami Izzaq kerana rakan sepasukan yang lain tidak mengalami cirit birit.
''Semua pemain mengambil makanan yang sama tetapi agak pelik hanya Izzaq sahaja yang mengalami cirit birit. Mungkin dia mengambil makanan atau minuman yang tercemar, itu saya tidak tahu," katanya.
Mengulas lanjut pertembungan dengan Thailand hari ini, Kim Swee mengakui pasukan itu sebuah pasukan yang bagus.
Menurutnya, dia pernah mengintip aksi Thailand di mana pasukan itu kalah kepada Singapura dalam aksi persahabatan dua bulan lalu di negara Republik itu.
Walaupun Thailand kalah dalam aksi persahabatan tersebut, Kim Swee tetap menyifatkan Thailand tetap pasukan No. 1 Asia Tenggara.
''Memang saya menyaksikan perlawanan tersebut bagi mengintip pasukan Thailand. Walaupun mereka kalah, Thailand sebenarnya sebuah pasukan yang bagus.
''Kelebihan mereka dibarisi pemain yang memiliki kemahiran individu, terutama pada bahagian tengah. Ini kelebihan mereka.
''Namun, saya ada cara untuk menghadapi Thailand. Dari aspek lain, kelebihan kita ialah kita semakin mendapat rentak pada kejohanan ini berbanding Thailand di mana esok (hari ini) adalah aksi kedua kita, sedang Thailand pastinya tercari-cari rentak pada aksi pertama mereka nanti.
''Jadi, saya mahu pemain kita menyekat Thailand daripada pantas menyesuaikan diri dengan bahang kejohanan," katanya. - Utusan
No comments:
Post a Comment