Wednesday, November 9, 2011

Daniel Bego tidak pertahan 5 emas


Daniel Bego


KUALA LUMPUR – Segala teka teki menyelubungi perenang sensasi negara, Daniel Bego akan cergas sepenuhnya untuk mempertahankan lima pingat emasnya di Sukan SEA Indonesia sudah ada jawapannya.
Daniel, 22, yang mencetuskan fenomena di kolam renang dengan menyapu emas acara 100 meter, 200m dan 400m (semua gaya bebas) serta 100m dan 200m (gaya kupu-kupu) termasuk empat rekod baru temasya di Laos dua tahun lalu, disahkan menarik diri.

Keputusan itu dibuat atas nasihat doktor yang merasakan bahu Daniel yang dibedah enam bulan lalu bagi memperbetulkan masalah Osteophyte, masih belum bersedia melakukan kuakan bertenaga.
Osteophyte ialah ketumbuhan yang terbentuk pada tulang biasa dan ia boleh menjadi amat menyakitkan apabila menyentuh tisu lembut atau ligamen.

Perkembangan itu tentunya kurang menggembirakan buat kontinjen Malaysia yang menagih sentuhan emas daripada pemuda kelahiran Sarawak itu yang pencapaian lima pingat emas pada 2009 turut menobatkannya sebagai olahragawan temasya tersebut.

Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Edwin Chong berkata, Daniel telah bertemu dengan doktor pakar yang merawatnya selama ini, semalam, untuk mendapatkan pandangan terakhir.
"Dia diberitahu mengenai risiko kecederaan lanjut sekiranya memaksa diri bertanding.
"Sebarang kecederaan baru pastinya mengeruhkan lagi situasi sehingga berpotensi menjejaskan peluangnya melayakkan diri ke Olimpik London tahun depan," ujar Edwin.

Ketiadaan Daniel akan memberi kesan kepada hasrat Malaysia mencari pingat emas dalam acara kupu-kupu individu serta melemahkan kekuatan pasukan 4X100m rampaian berganti-ganti dan 4X200m gaya bebas.
Skuad renang akan berlepas ke Palembang hari ini. Malaysia membawa pulang kutipan 9-5-6 pada temasya lalu.


- UTUSAN

No comments:

Post a Comment