Wednesday, November 16, 2011

Noraseela bukti miliki kudrat juara



Noraseela Khalid (tengah) melompat pagar terakhir sebelum memecut ke garisan penamat untuk mempertahankan pingat emas acara 400 meter berpagar yang dimenanginya dua tahun lalu di Laos. Dia menang emas di Palembang, semalam menewaskan pelari Thailand, Wassana Winatho di tempat kedua dan Hetari Viera dari Indonesia ketiga.



PALEMBANG - Pingat emas yang dimenangi Noraseela Khalid tidak sehangat komen yang diberikannya selepas menamatkan saingan 400 meter berpagar wanita di sini, semalam.

Pelari senior itu berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dua tahun lalu di Laos sambil menyatakan bahawa dia tidak akan sesekali menyerah kalah walaupun ada pihak yang cuba menjatuhkannya.
"Saya tidak akan berhenti berlari walaupun ada orang cuba hendak menjatuhkan saya. Semua perlu tahu bahawa saya tidak akan berputus asa untuk berdepan dengan orang-orang seperti ini. Pingat emas yang diraih ini memberi kegembiraan buat saya selepas apa yang saya lalui tahun ini," katanya.

Noraseela mencatatkan masa terbaiknya 57.41 saat untuk menewaskan pelari Thailand, Wassana Winatho (58.97s) dan Hetari Viera dari Indonesia (59.64s).
Atlet kelahiran Rawang, Selangor itu membuktikan bahawa dia bukanlah 'anak emas' Majlis Sukan Negara (MSN) apabila sering diberi peluang menjalani latihan di luar negara dengan meraih emas keempatnya dalam Sukan SEA.

"Perkara yang amat menyedihkan saya di temasya kali ini ialah kuartet 4x400 lelaki terpaksa pulang awal sebentar tadi dan tidak sempat untuk menerima kalungan pingat. Saya hairan kenapa perkara ini terjadi.
"Sebelum ini sudah banyak kali wartawan menulis dan kami juga bercakap dengan menteri, namun tidak ada sebarang tindakan di ambil. Banyak benda yang berlaku dalam olahraga dan perubahan perlu dilakukan.
"Saya berharap badan tertentu tampil membantu melakukan program latihan kami. Atlet seperti Roslinda (Samsu), Lee Hup Wei perlu diberi peluang kalau tidak sekarang bila lagi," kata atlet senior itu yang membidas Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM). - Utusan

1 comment:

  1. KOM should be totally revamped, if Malaysian athletes are to move higher to be on par with other nations....

    ReplyDelete