Wednesday, November 16, 2011

Roslinda bolot emas keempat berturut-turut




PALEMBANG - Lompatan bersahaja tanpa menghiraukan gangguan penonton menjadi kunci kepada kejayaan atlet lompat bergalah negara, Roslinda Samsu (gambar) memenangi pingat emas, semalam.
Pemegang rekod kebangsaan itu berjaya mencatat lompatan 4.20 meter yang juga rekod baru Sukan SEA, untuk mengetepikan pencabarnya dari Vietnam, Li Thi Phuong yang juga mencatat lompatan yang sama tetapi tewas melalui kiraan semula.

Gangsa milik Ni Putu Desy Margawati hasil lompatan 3.90m.
Stadium Olahraga Jakabaring seperti tidak mengalukan kedatangan Roslinda tatkala dia memburu emas keempatnya di temasya dwi tahunan ini.
Bagaimanapun, atlet kelahiran Kuala Nerang, Kedah itu tidak menghiraukan kata-kata pedas yang dilemparkan oleh penonton, malah boleh tersenyum ketika melakukan lompatan.

Menurutnya, segala kata-kata yang dilemparkan oleh penonton untuk mengganggu tumpuannya memang difahami tetapi dia hanya melakukan lompatan seperti biasa dan akhirnya berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu di Laos.
"Penonton cuba untuk menjatuhkan semangat saya.

Saya tidak pasti bagaimana dapat memberi tumpuan sepenuhnya dan berjaya melakukan lompatan untuk meraih pingat emas. Ketika atlet negara lain melakukan lompatan mereka langsung tidak mengejek tetapi boleh memberi sokongan," katanya, semalam.

Rekod lama temasya ini juga milik Roslinda iaitu 4.15m yang dilakukannya di Laos dua tahun lalu. - Utusan

No comments:

Post a Comment