Wednesday, November 16, 2011

Chu Sian sedih dalam gembira

JAKARTA - Kejayaan Cheng Chu Sian meraih pingat emas hatrik dalam tiga Sukan SEA yang disertainya dalam acara memanah recurve individu lelaki, diselubungi berita sedih sejurus mendapat berita kematian pemanah paralimpik negara, Salam Sidek di Kuala Lumpur, semalam.

Sejurus mengesahkan emas acara dengan mengetepikan rakan sepasukan, Khairul Anuar Mohamad 6-2 pada aksi final, Chu Sian terkejut selepas dimaklumkan tentang kematian Salam daripada jurulatih negara, Lee Jae Hyung.

Menurut Chu Sian, dia memang mengenali Salam dan mereka agak akrab.
"Dia (Salam) seorang atlet yang baik, kami selalu berbual bersama.
"Kami banyak bercerita tentang kamera kerana Salam begitu meminati kamera.
"Jadi apabila diberitahu Salam meninggal dunia, saya benar-benar terkejut, saya ucap takziah kepada keluarga beliau.

"Kemenangan saya hari ini (semalam) juga adalah kemenangan buat Salam yang mengharumkan nama negara," katanya.

Tambahnya, berita kematian Salam pasti menjadi tamparan hebat buat skuad memanah paralimpik negara.
"Salam sudah melayakkan diri ke Sukan Paralimpik 2012 dan ketiadaannya, sudah pasti dirasai oleh seluruh warga memanah negara," katanya.

Selain Chu Sian, Khairul dan seorang lagi pemanah muda negara, Haziq Kamarrudin juga akan membuat penampilan pada temasya di London dalam kategori recurve berpasukan.

Pada aksi final semalam, Chu Sian membuktikan dia berada pada kelas tersendiri bagi merangkul pingat emas ketiga berturut-turut pada temasya Sukan SEA sejak edisi 2007 di Korat, Thailand.
"Sebenarnya, keadaan saya tidak begitu baik hari ini. Saya rasa seperti nak demam sejak pagi, tetapi saya tetap fokus sehingga aksi final menentang Khairul.

"Saya datang ke sini untuk membantu rakan sepasukan kerana mereka membuat penampilan pertama pada Sukan SEA," katanya.

Sementara itu, Khairul berkata, dia tidak tertekan ketika berdepan Chu Sian yang lebih berpengalaman.
"Saya tetap berpuas hati dengan kejayaan memenangi pingat perak. Saya harap dapat memperbaiki prestasi saya dalam kategori recurve berpasukan selepas ini," kata Khairul. - Utusan

No comments:

Post a Comment