Wednesday, November 16, 2011

Rampas kembali emas selepas satu dekad

CHEONG Jun Hoong memastikan lagu Negaraku sekali lagi berkumandang di Pusat Akuatik Jakabaring apabila memenangi pingat emas acara 3m papan anjal wanita, semalam.

Lebih manis, selain kemenangan Jun Hoong, acara itu juga menyaksikan penguasaan 1-2 Malaysia apabila Ng Yan Yee turut memenangi perak.
 
Acara itu yang kali terakhir dimenangi Leong Mun Yee pada 2001 di Kuala Lumpur akhirnya kembali dirampas penerjun muda negara, Jun Hoong, 21, selepas mengumpul 310.70 mata, manakala Yan Yee, 290.10 mata untuk perak. Penerjun tuan rumah, Sari Ambarwati gangsa.

“Saya gembira kerana akhirnya berjaya mendapat emas pertama Sukan Sea dalam acara individu,” katanya.
Jun Hoong mendahului penerjun lain selepas terjunan ketiga, mempamerkan aksi konsisten dengan memungut 60 mata ke atas bagi setiap terjunan, cuma merosot di terjunan terakhir apabila sekadar memperoleh 59.45 mata.

“Sangat lega dapat memastikan emas milik Malaysia kerana saya dan Yan Yee amat tertekan sejak menjalani latihan dua hari lalu.
“Jurulatih Yang Zhuliang, Lan Wei dan Huang Qiang menasihatkan saya supaya jangan tertekan dan hanya melakukan terjunan terbaik seperti dalam latihan dan itulah yang saya lakukan,” katanya tersenyum bangga.
Di Laos dua tahun lalu, Mun Yee sekadar meraih gangsa yang menyaksikan penerjun Vietnam, Thanh Tra Hoang menang emas.

Yan Yee yang memburu emas kedua selepas menang 3m seirama papan anjal bersama Mun Yee agak kecewa dengan persembahannya kerana gagal meraih emas, namun dia tetap gembira dengan kejayaan Jun Hoong.
“Kesilapan ketika terjunan ketiga membuatkan saya jatuh ke tempat kedua, tapi tidak mengapa kerana yang penting Malaysia menang emas,” kata Yan Yee.


MyMetro

No comments:

Post a Comment