Thursday, November 10, 2011

Jamalliah sandaran emas awal


Jamalliah Jamaludin (kanan) menjadi sandaran untuk pingat emas pertama negara pada Sukan SEA XXVI Indonesia 2011 yang membuka tirainya, esok.


JAKARTA – Pemenang pingat perak acara karate Sukan Asia Guangzhou XVI, Jamalliah Jamaludin disandarkan harapan untuk memberikan pingat emas pertama kepada kontinjen negara.

Acara karate akan memulakan kempen pada Sabtu ini di Senayan, sehari selepas upacara pembukaan temasya sukan edisi ke-26 itu.

Jamalliah beraksi dalam acara wanita Kumite 68 kilogram ke atas di Guangzhou pada November tahun lalu.
“Kita memang mengharapkan emas pertama pada Sukan SEA 2011 menerusi Jamaliah dalam acara karate.
“Walaupun ada atlet negara yang akan beraksi lebih awal iaitu kanu esok, di mana lima pingat emas ditawarkan, namun kita tiada rekod mengenai pencapaian atlet tersebut,” kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong di sini, semalam.

Jamalliah, 27, memburu emas hatrik pada Sukan SEA 2011 setelah juga muncul juara pada temasya sukan yang sama di Laos dan Korat.

Dia akan beraksi dalam acara individu dan berpasukan.
Sementara itu, pengurus pasukan kanu negara, Shahrul Nizam Rahman berkata, atlet negara yang beraksi pada Sukan SEA hanya memiliki pengalaman beraksi pada Sukan Malaysia.

Saingan perebutan emas Sukan SEA hanya rancak sehari selepas majlis perasmian apabila 39 pingat emas ditawarkan pada Sabtu ini.

Daripada jumlah tersebut, enam dalam acara renang, satu untuk polo air, 11 emas menerusi olahraga, tiga dalam acara kanu, gimnastik berirama satu emas, tujuh emas dalam karate, tiga dalam disiplin menembak dan tujuh dalam acara taekwondo. – Utusan

No comments:

Post a Comment