Thursday, November 10, 2011

Tunggu kejutan kuartet wanita


Kontinjen olahraga bersemangat semasa menunggu penerbangan ke Palembang di KLIA, Sepang, semalam.


SEPANG - Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Harun Rasheed percaya percaturannya terhadap rangkaian kuartet baru wanita 4x100 meter mampu memberikan kejutan.

Katanya, percaturan yang dilakukan lebih kepada pengubahsuaian posisi pelari pertama hingga keempat mengikut kelebihan individu yang ada pada mereka.

Tambah Harun, pengubahsuaian tersebut melibatkan dua ahli baru iaitu Saidatul Husna Zulkifli dan S. Komala Shally serta dua ahli sedia ada Norjannah Hafiszah Jamaluddin dan Nurul Sarah Abdul Kadir.

"Saya telah letak Saidatul Husna sebagai pelari pertama kerana atlet tersebut mempunyai tubuh badan kecil yang sesuai untuk memecut di selekoh trek manakala pelari kedua ialah Nurul Sarah.

"Pelari ketiga harus memanfaatkan kepantasan yang ada pada Nurul Sarah dan tugas tersebut diberikan kepada Komala. Norjannah pula akan menjadi pelari keempat untuk mendapatkan penyudah terbaik melalui larian pantas yang sedia ada pada atlet tersebut," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Palembang, semalam.

Sementara itu, Norjannah berkata, dua ahli baru dalam kuartet tersebut diyakini dapat memberikan persembahan terbaik mereka dalam penampilan pertama mereka.

"Prestasi Saidatul Husna dan Komala amat baik ketika ini dan dua atlet tersebut telah bekerja keras sepanjang latihan persediaan.

"Saya juga ada membimbing mereka melalui pengalaman yang ada dan menasihatkan kedua atlet tersebut agar tidak gentar menghadapi lawan mereka nanti," kata Norjannah.

Skuad olahraga akan memulakan aksi mereka pada Ahad ini manakala acara 4x100 meter wanita pada Isnin depan di Kompleks Sukan Jakabaring, Palembang.


Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment