Thursday, November 10, 2011

Tiket ke akhir memadai buat Rizal


RIZAL Tizin sekadar mengintai tiket final pada Sukan SEA XXVI Indonesia.


SEPANG - Pelumba trek berbasikal negara, Mohd. Rizal Tisin menganggap kemaraan ke saingan akhir Supercross BMX memadai memandangkan acara itu masih terlalu baru baginya.

Untuk menyasarkan sebutir gangsa, masih kurang meyakinkan anak jati Klang, Selangor berusia 27 tahun ini apatah lagi rekod pencapaian antarabangsa sepanjang 2011 belum menyaksikannya meraih sebarang pingat.

"Dalam Kejohanan Asia di China dan satu sirkit BMX di Singapura masing-masing pada Mei dan Julai lalu, saya tidak menang apa-apa pingat. Saya juga masih memerlukan masa yang lebih panjang untuk menyesuaikan diri kerana banyak bezanya antara basikal trek dengan BMX.

"Tayar basikal BMX lebih kecil berbanding trek. Jadi saya tidak boleh berikan harapan terlalu besar untuk meraih sebarang pingat. Jika mara ke pusingan akhir selepas melalui empat pusingan pun, dikira memadai," katanya.

Dia yang ditemui sebelum berlepas ke Jakarta dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam, turut meramalkan tiga tempat teratas Supercross BMX sejauh 400 meter ini bakal dikuasai pelumba tuan rumah berdasarkan prestasi mereka pada Kejohanan Asia.

Rizal yang memiliki ketinggian 1.79 meter, lebih dikenali dalam acara trek 1 kilometer ujian masa, malah pernah memenangi pingat gangsa pada Kejohanan Dunia 2009 di Pruszkow, Poland selain memiliki kemampuan sebagai pelumba keirin dan pecut berpasukan.

Namun, juara 1km Piala Dunia Beijing 2008-09, sebutir perak 1km dan sebutir gangsa pecut berpasukan Sukan Komanwel Delhi 2010 ini, turut mengidam untuk layak ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil menerusi acara baru pilihannya, BMX.



Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment