Thursday, November 10, 2011

Hadiah pingat buat mama, abah


Nur Ayuni Farhana mahu bidik emas sebagai hadiah untuk kedua ibu bapanya.


SEPANG - Semangat atlet menembak negara, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim pada tahap tertinggi, terutama apabila memikirkan azamnya mahu menghadiahkan pingat buat kedua orang tuanya.

Ayuni yang menyertai acara rifle 50 meter individu tiga posisi mahu menjadikan pingat tanpa mengira warna sebagai tanda penghargaan bagi mengenang jasa mereka yang banyak membantu serta memberinya semangat.
Katanya, keyakinan untuk merealisasikan matlamat itu berdasarkan kepada prestasi semasa dan persediaan rapi ke temasya dwi tahunan tersebut.

“Dua tahun lalu di Sukan SEA Laos saya memperoleh pingat gangsa dalam cara individu dan perak berpasukan.

“Tahun ini tiada acara berpasukan dan memang tidak dinafikan saya mahu menghadiahkan satu pingat untuk mama dan abah.

“Memang saya fokus untuk Sukan SEA ini kerana ia juga amat penting buat saya selain kelayakan untuk ke Olimpik,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Palembang, Indonesia, semalam.

Ayuni mula mencuri tumpuan apabila gandingannya dengan penembak berpengalaman, Nur Suryani Mohamed Taibi berjaya meraih pingat emas dalam acara raifal 10m angin pada Sukan Komanwel di New Delhi tahun lalu.

Pada Sukan SEA Laos, dua tahun lalu kontinjen menembak negara gagal membawa pulang sebarang emas, sebaliknya sekadar meraih enam pingat perak dan lima gangsa.



Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment