Thursday, November 10, 2011

Saya, Sukan SEA

Bahagian 1

TAHUN 1965 negara kita menganjurkan Sukan SEAP; nama yang dikenali bagi temasya sukan negara-negara Asia Tenggara sebelum ditukar menjadi Sukan SEA mulai tahun 1977.

Ketika itu saya sedang menghadapi peperiksaan MCE (SPM) dan berpeluang melihat atlet negara kita berlatih di Maktab Perguruan Ilmu Khas (STTI) sebuah maktab yang antara lainnya melatih guru-guru sukan.
Nama-nama besar atlet olahraga negara seperti Dr. M. Jegathesan, G. Rajalingam, T. Krishnan adalah pelari pecut yang dapat dilihat dari dekat pada setiap petang.

Sukan SEAP 1965 dilangsungkan selepas peperiksaan MCE selesai dan saya mengikuti siaran langsung acara olahraga melalui radio di kampung. Itulah sentuhan pertama dengan Sukan SEAP-SEA.

Saya mula bekerja pada awal tahun 1971 dan menerusi saudara Shaharudin Jaffar telah melibatkan diri dalam pengurusan lumba basikal Negeri Selangor.

Pada tahun 1975, saya telah dipilih untuk menjadi pengurus pasukan lumba basikal bagi Sukan SEAP di Bangkok.

Oleh kerana negara kita tidak mempunyai velodrom pada masa itu, pasukan trek terpaksa berlatih di Bangkok selama sebulan lebih awal.

Itulah pertama kali saya melihat velodrom dengan mata kepala saya sendiri di Hua Mak. Saya seterusnya bersama-sama dengan pasukan lumba basikal pada Sukan SEA 1977 di Kuala Lumpur dan Sukan SEA 1979 di Jakarta, Indonesia.

Saya melanjutkan pelajaran dalam bidang pengurusan sukan di Amerika Syarikat mulai pertengahan tahun 1981 dan dengan itu tidak dapat menyaksikan Sukan SEA 1981 di Manila.

Sekembalinya saya ke tanah air pada awal tahun 1983 saya telah dipinjamkan ke MSN dan pada tahun itu juga sempat ke Singapura yang menganjurkan Sukan SEA.



UTUSAN

No comments:

Post a Comment