Tuesday, November 15, 2011

Emas hatrik Hup Wei


HUP WEI melepasi ketinggian 2.15 meter untuk memenangi pingat emas dalam acara lompat tinggi lelaki di Palembang semalam.


KEGHAIRAHAN Lee Hup Wei untuk bangkit daripada kecederaan buku lali kiri membantunya mencipta hatrik dengan meraih pingat emas acara lompat tinggi lelaki pada Sukan SEA Ke-26 di Palembang, semalam.
Pada aksi final tersebut, Hup Wei, 24, berjaya melepasi ketinggian 2.15 meter untuk mengatasi pencabar terdekat dari Thailand, Sudjunta Torlarp yang sekadar melepasi 2.12 meter. Gangsa menjadi milik atlet Vietnam, Nguyen Dung Bang (2.08m).

Selain didorong untuk beraksi di Sukan Olimpik tahun depan dan melepasi ketingggian 2.20 meter, Hup Wei berkata, ini bukan emas terakhirnya daripada temasya dwitahunan ini.
Sebaliknya dia terus menanam azam untuk memburu emas keempat berturut-turut pada temasya di Myanmar dua tahun lagi.

"Saya rasa masih boleh pergi lebih jauh untuk kembali berada pada prestasi terbaik ketika mencipta rekod Sukan SEA iaitu 2.27 meter pada 2008 lalu.
"Di Palembang ini, saya tidak peduli pencabar lain sebaliknya hanya fokus mahu melepasi sasaran 2.20m yang saya letak sendiri untuk dicapai tahun ini sebelum ke Olimpik.

"Namun saya gagal capai sasaran tetapi masih berjaya juga meraih emas ketiga di Sukan SEA. Saya kena banyak berlatih lagi selepas ini," katanya selepas pertandingan.
Sebelum ini, atlet kelahiran Dengkil, Selangor itu turut meraih emas pada temasya di Korat, Thailand (2007) dan Laos (2009).

"Pencapaian terbaik saya di Sukan SEA ialah pada 2007 dengan mencatat 2.19 meter. Saya rasa masih boleh lagi untuk beraksi dua tahun lagi," tegasnya.



KOSMO

No comments:

Post a Comment