Tuesday, November 15, 2011

Arivalagan kecewa


DEVARAJ (kanan) dicabar hebat atlet Thailand dalam kategori kumite berpasukan lelaki semalam. Malaysia sekadar memenangi pingat gangsa.


JAKARTA - Jurulatih skuad karate negara, P. Arivalagan tidak dapat menyembunyikan kekecewaan apabila anak-anak buahnya sekadar mampu meraih pingat gangsa dalam kategori kumite berpasukan lelaki Sukan SEA 2011 semalam.

Bagi Arivalagan, ia satu pencapaian yang tidak boleh terlalu dibanggakan kerana mereka tampil selaku pemenang pingat perak pada temasya Sukan SEA 2009 di Vientianne, Laos.

"Memang saya kecewa dengan keputusan ini. Pada awalnya, kita berpeluang mara ke final dan seterusnya bersaing untuk merebut pingat emas.

"Bagaimanapun, disebabkan beberapa kesilapan yang dilakukan atlet itu sendiri, kita terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa dalam acara ini (kumite berpasukan lelaki)," jelas Arivalagan kepada Kosmo! semalam.
Selepas membenam cabaran Thailand 3-2 di peringkat suku akhir, langkah skuad kumite lelaki negara tersekat di pentas separuh akhir apabila tewas 0-3 kepada tuan rumah, Indonesia.


K. Teagarajan, V. Devaraj, dan L. Kunasilan tumbang kepada lawan masing-masing, manakala Shaharudin Jamaludin gagal meraih mata apabila sekadar mencatat keputusan seri.

Ketika bersaing di peringkat repercharge bagi merebut pingat gangsa, skuad negara berjaya menyingkirkan Vietnam dengan kemenangan 3-0.

Shaharudin, Loganesha Rao masing-masing menyumbang dua mata pertama skuad negara, tetapi Teagarajan seri ketika menentang lawannya.
Bagaimanapun, Devaraj memastikan pingat gangsa menjadi milik skuad karate negara dengan meraih mata ketiga.
"Adat pertandingan, ada yang kalah ada yang menang. Pada Sukan SEA 2009 di Laos, kita berjaya mengalahkan Indonesia di peringkat separuh akhir, tetapi tewas kepada Vietnam di final.

"Tetapi pada Sukan SEA kali ini, kita tewas kepada Indonesia pada saingan separuh akhir, tetapi menang ketika menentang Vietnam dalam persaingan memburu pingat gangsa," kata Arivalagan.
Di sebalik kekecewaan kerana gagal menumbangkan Indonesia, Arivalagan tetap percaya atlet-atlet muda negara berpotensi untuk pergi lebih jauh.

"Secara keseluruhannya, saya sudah mendapat gambaran bahawa kita mempunyai barisan pelapis yang berwibawa. Melalui pertandingan seperti ini, mereka akan dapat pengalaman yang berguna.
"Sukan SEA merupakan antara platform terbaik untuk mereka menimba sebanyak mungkin pengalaman sebelum menghadapi Sukan Asia akan datang," katanya.

No comments:

Post a Comment