Tuesday, November 15, 2011

Kejutan kuartet 4x400m 'bidan terjun'

ATLET 4x400 meter lelaki (dari kiri) S. Kannathasan, Mohd. Yunus, Yuvaraaj dan Schzuan mengibarkan Jalur Gemilang selepas berjaya meraih emas di Palembang semalam.


PALEMBANG - Skuad olahraga negara mencipta kejutan terbesar apabila kuartet 'bidan terjun' yang tidak langsung diletakkan harapan berjaya meraih emas dalam acara 4x400 meter lelaki semalam.

Penyertaan di saat-saat akhir itu tidak menghalang gandingan S. Kannathasan, P. Yuvaraaj, Schzuan Ahmad Rosely dan Mohd. Yunus Lasaleh untuk menyinar, sekali gus mengejutkan banyak pihak termasuk yang menghalang kedatangan mereka ke sini sebelum ini.

Kuartet itu mencatat masa 3 minit 10.47s untuk menewaskan juara bertahan, Thailand di tempat kedua dan Indonesia (ketiga). Catatan itu bagaimanapun jauh daripada rekod Sukan SEA, 3:05.47s.
"Kami berjaya menutup mulut mereka yang menghalang kedatangan kami ke sini. Kami berjaya buktikan dengan membawa pulang emas," kata Kannathasan.

Kejayaan kuartet 4x400 ini yang hanya baru tiba dua hari lalu akibat pelbagai halangan dan dengki khianat pihak tertentu bakal memberi satu tamparan hebat kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).
Ini kerana dalam menyenaraikan mereka ke Sukan SEA ini, berlaku tarik tali di mana pada peringkat awal mereka disenaraikan, kemudian digugurkan sebelum disenaraikan semula di saat akhir.
"Kami berjaya buktikan, walaupun datang di bawah kategori B dan di saat akhir, kami berjaya membawa pulang emas," kata Kannathasan.

Sebagai rekod, kali terakhir kuartet 4x400 meter lelaki negara memenangi pingat emas pada temasya dwitahunan itu ialah edisi 2007 di Thailand menerusi rangkaian pelari Mohd. Zuslaini Mohd. Zafril, Zainal Abidin Muhammad Zaiful, Subramaniam Thipan dan Krishnan Amran Raj.

Sebelum ini, penyertaan kuartet emas negara itu berdepan pelbagai halangan ekoran beberapa kontroversi yang timbul membabitkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).



KOSMO

No comments:

Post a Comment