Wednesday, November 9, 2011

Bisa Ngomong: Jakarta belum sedia

SEORANG teman yang hadir di bumi Jakarta dua minggu sebelum saya menyatakan semuanya terjamin dan bersiap sedia untuk menghadapi temasya Sukan Sea kali ke-26.
Namun selepas sehari berada di sini, saya tidak nampak ada kebenaran dengan kenyataannya itu. Segala-galanya bagaikan belum bersedia dan hanya menanti saat-saat akhir barulah kerja-kerja hendak dilaksanakan.

Mungkin juga kami wartawan dari Malaysia hadir lebih awal berbanding rakan seperjuangan negara lain tapi ternyata mereka tidak bersedia menanti kehadiran kami.

Pusat Media Utama (MPC) hanya dibuka Jumaat ini serentak dengan upacara pembukaan di Palembang.


Saya sempat meninjau keadaan MPC semalam dan menyedihkan kerana ia tidak setaraf langsung dengan MPC ketika kali terakhir Jakarta menjadi hos Sukan Sea pada 1997, kali pertama saya membuat liputan temasya sukan terbesar Asia Tenggara.

Hanya 74 tempat duduk yang disusun dengan rapat disediakan buat hampir 200 petugas media dari 11 negara bertanding.

Pastinya akan timbul masalah apabila lebih ramai petugas media menggunakan MPC dan bersesak-sesak ketika berusaha menghantar berita buat tatapan pembaca di negara masing-masing.

‘Sukseskan Sukan Sea’, antara beberapa slogan yang terpampang sejak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, patut menjadi pegangan penganjur tapi saya hanya ‘bisa ngomong’ saja.

Tulisan saya ini mungkin tidak mereka baca dan hiraukan namun harapnya mereka menyedari kesilapan dan memperbaikinya dengan segera supaya kempen ‘Sukseskan’ mereka berjaya disempurnakan.


HARIAN METRO

No comments:

Post a Comment