KONTINJEN Malaysia ke temasya Sukan SEA di Indonesia dari 11 hingga 22 November ini akan dibekalkan dengan kasut khas bercirikan Harimau Malaya untuk acara pembukaan dan penutupan.
Kasut yang berwarna oren dan hitam itu adalah hasil sumbangan Bata yang sedondon dengan warna pakaian yang akan digunakan atlet negara pada acara perbarisan itu nanti.
Pengurus Kanan Bata (Marketing) Sdn. Bhd., Datuk James Selvaraj berkata, kasut itu dicipta khas pihaknya khusus untuk barisan atlet negara yang beraksi pada temasya Sukan SEA kali ini.
"Kita akan bekalkan 2,000 pasang kasut kepada kontinjen negara yang dicipta dalam dua warna berbeza iaitu oren dan hitam.
"Kasut ini masih tiada lagi dalam pasaran dan dibuat istimewa untuk atlet negara memakainya pada acara pembukaan dan penutupan nanti," katanya.
Beliau menjelaskan, pihaknya membelanjakan RM100,000 untuk menaja kasut istimewa tersebut sebelum dijual di pasaran terbuka.
"Anda boleh lihat nanti bagaimana segaknya kontinjen negara memakainya kerana sama warna dengan baju rasmi atlet kita," jelasnya.
Acara pembukaan dan penutup Sukan SEA 2011 akan berlangsung di Kompleks Sukan Jakabaring di Palembang pada 11 dan 22 November.
No comments:
Post a Comment