Thursday, December 10, 2009

Shabery bidas sikap pegawai abai tugas


KONTINJEN Malaysia melangkah bergaya pada upacara perasmian Sukan SEA XXV Laos semalam.


VIENTIANE, Laos - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek membidas sikap sesetengah pengurus pasukan ke Sukan SEA XXV yang mengabaikan tugas mereka ke temasya itu, sebaliknya lebih kepada melancong.

Beliau berkata, kes yang membabitkan atlet acara lumba basikal yang hampir terlepas penerbangan ke Vientiane akibat kecuaian pegawai pasukan yang tidak sepatutnya berlaku jika mereka yang diamanahkan melaksanakan kerja mereka dengan jujur.

"Tiada alasan bagi kesilapan seperti terlepas penerbangan ke sini (Vientiane). Saya menunggu laporan daripada Ketua Kontinjen (Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz) sebelum mengambil tindakan.

"Pegawai ditanggung sepenuhnya untuk menjalankan tanggungjawab menguruskan pasukan masing-masing, bukannya datang untuk melancong," katanya ketika ditemui semalam.

Beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), akan memperkenalkan satu mekanisma bagi mengawal disiplin pengurus pasukan yang dilantik.


SHABERY (tengah) sempat bergurau dengan kakitangan Unit Penyediaan Makanan Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) di Kompleks Sukan SEA Laos, Vientiane semalam.


Ahmad Shabery berkata, sebelum ini, tumpuan kementeriannya adalah terhadap disiplin atlet tetapi kini pegawai-pegawai pula yang bermasalah.

Beliau turut mempersoalkan semangat patriotisme pegawai-pegawai yang datang ke Sukan SEA ini dengan tujuan untuk melancong dan meninggalkan atlet mereka menguruskan sendiri jadual latihan dan pertandingan.

KBS katanya, akan mengkaji semula amalan melantik pengurus pasukan yang dicadangkan sendiri oleh persatuan kerana amalan tersebut jelas tidak menguntungkan negara.

"Kebanyakan persatuan di Malaysia menggunakan sistem giliran di mana presiden persatuan di negeri-negeri akan bergilir-gilir mengetuai pasukan kebangsaan ke sesuatu temasya," katanya.

"KBS mahu pegawai dan pengurus pasukan yang bekerja, bukannya dilantik mengikut sistem bergilir-gilir seperti amalan sekarang, yang memberi ruang kepada mereka untuk melancong ke luar negara."

No comments:

Post a Comment