Monday, December 14, 2009

Sejarah di bumi Laos


SKUAD badminton wanita negara bangga dengan pingat emas acara berpasukan selepas kejayaan menewaskan Indonesia 3-1 semalam.


VIENTIANE, Laos - Berakhir sudah penantian selama 34 tahun.
Sejarah gemilang dilakar skuad badminton negara apabila mengakhiri kemarau panjang dengan merangkul pingat emas acara berpasukan wanita pada Sukan SEA XXV semalam.

Kira-kira lima jam selepas barisan pemain lelaki meraih pingat perak acara berpasukan selepas tumbang kepada musuh tradisi, Indo- nesia, skuad wanita negara berjaya menghadir- kan berita gembira buat peminat badminton tanah air.

Mereka berjaya membalas kekecewaan skuad lelaki apabila membenam ego Indonesia menerusi kemenangan 3-1 di Gimnasium 1, Kompleks Sukan Nasional.

Gandingan 'bidan terjun', Ng Hui Lin-Woon Khe Wei menjadi watak utama di sebalik kejayaan penuh bersejarah itu.

Sekalipun hanya diberi- tahu akan digandingkan bersama sebaik tiba di Laos minggu lalu, Hui Lin-Khe Wei tidak pernah menyangka bahawa mereka akan dijulang sebagai wirawati negara.

Hui Lin-Khe Wei mengesahkan kemenangan skuad wanita negara apabila menewaskan gandingan berpengalaman Indonesia, Greysia Polii-Liliyana Natsir 19-21, 21-12, 21-18 dalam pertarungan selama satu jam.

"Saya memang tidak sangka dapat menyumbang mata kemenangan untuk negara. Pasangan sebenar saya ialah Chong Sook Chin dan perubahan yang dilakukan ini adalah semata- mata untuk acara berpasukan. Ternyata percaturan strategi yang dibuat jurulatih menjadi.

"Saya sangat berpuas hati dengan persembahan kami hari ini (semalam). Saya mahu berterima kasih kepada jurulatih yang memberi kepercayaan kepada kami untuk bergan- ding bersama. Saya benar-benar gembira dengan kejayaan ini," kata Khe Wei ketika ditemui semalam.


NG HUI LIN (depan) dan Woon Khe Wei beraksi cemerlang untuk menyumbang mata kemenangan buat skuad wanita negara semalam. Malaysia menewaskan Indonesia 3-1.


Hui Lin yang sepatutnya berpasangan dengan Goh Liu Ying pula berkata, dia tidak menghadapi masalah besar sekalipun digandingkan bersama Khe Wei pada saat-saat akhir.

"Saya tiada masalah bermain dengan Khe Wei kerana kami pernah berganding dalam skuad remaja sebelum ini. Apa yang menakutkan saya apabila kami terpaksa berdepan dengan Greysia dan Liliyana yang sudah memiliki pengalaman yang cukup luas berbanding kami.

"Bagaimanapun, saya dan Khe Wei telah membuktikan bahawa kami boleh menewaskan pemain yang lebih berpengalaman," kata Hui Lin.

Terdahulu, ratu badminton negara, Wong Mew Choo tidak menghadapi masalah untuk meraih mata pertama negara selepas mene- waskan Adriyanti Firdasari 21-18, 21-17 dalam tempoh 37 minit.

Gandingan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui terus menceriakan kira-kira 50 penyokong Malaysia yang hadir memberikan sokongan apabila menundukkan Shendy Irawati-Meiliana Jauhari 21-17, 21-13.

Bagaimanapun, Indonesia kembali merapatkan jurang mata apabila pemain perseorangan kedua negara, Lydia Cheah tewas 8-21, 9-21 kepada pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2008, Maria Kristin.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara badminton berpasukan wanita ialah pada temasya 1975 di Bangkok, Thailand.



No comments:

Post a Comment