Tuesday, December 22, 2009

Roslinda tiada pencabar


ROSLINDA membuktikan kejaguhannya dalam acara lompat bergalah wanita.


VIENTIANE, Laos - Ratu lompat bergalah negara, Roslinda Samsu memang tiada saingan di Asia Tenggara.

Seperti dijangka, dia mudah menggenggam pingat emas dalam acara kegemarannya itu semalam.

Selain meriah emas, dia juga menamatkan saingan dengan rekod baru Sukan SEA yang juga miliknya sendiri.

Lompatan dengan ketinggian 4.15 meter menyaksikan Roslinda tiada pencabar sekali gus membolehkannya meraih emas ketiga beturut-turut dalam acara kegemarannya itu.

Lebih membanggakan apabila catatan yang dilakukan Roslinda semalam menyaksikan dia memadam rekod Sukan SEA miliknya sendiri iaitu 4.10m yang dilakukannya pada temasya yang sama di Korat, Thailand dua tahun lepas.

"Syukur alhamdulillah... saya berjaya menambah koleksi emas buat kali ketiga berturut-turut pada Sukan SEA. Yang paling menggembirakan saya apabila saya dapat memperbaharui rekod saya sendiri pada Sukan SEA kali ini.

"Sebelum datang ke Laos, saya memang sudah menetapkan sasaran untuk meraih emas dan memperbaharui rekod Sukan SEA. Saya puas kerana sasaran yang saya tetapkan telah tercapai," kata Roslinda ketika ditemui semalam.

Pingat perak acara tersebut dimenangi atlet Vietnam, Le Thi Phuong yang melepasi ketinggian 3.90m manakala gangsa milik atlet Thailand, S. Chomchuendee (3.75m).

Seorang lagi atlet negara, Kathleen Ong pula gagal menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik selepas gagal melepasi ketinggian 3.75m dalam ketiga-tiga lompatannya.

Sebelum itu, Kathleen berjaya melepasi ketinggian 3.60m.

Untuk rekod, pada penampilan pertama Roslinda pada Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur, atlet kelahiran Kuala Nerang, Kedah itu merangkul pingat perak.

Pada temasya di Vietnam dua tahun kemudian, Roslinda sekadar meraih pingat gangsa.

Bermula Sukan SEA 2005 di Manila, Filipina, Roslinda mula menguasai acara lompat bergalah wanita dengan meraih emas sebelum mengulangi pencapaiannya itu pada temasya 2007 di Korat.

Roslinda mengakui, pada awalnya dia berasa gementar selepas gagal melepasi ketinggian 3.90m pada lompatan pertamanya.

"Saya mengakui agak gementar kerana atlet Vietnam itu terlalu yakin untuk menang emas tetapi saya bersyukur kerana selepas berjaya melepasi tahap ketinggian itu, keyakinan saya mula tinggi.

"Keadaan cuaca yang panas hari ini (semalam) juga memberi peluang kepada saya untuk beraksi dengan baik. Saya memang sukakan cuaca panas kerana ia akan memberi kekuatan fizikal kepada saya," kata Roslinda yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 4.40m.

Roslinda menambah, selepas mencipta kejayaan di Laos, tumpuannya kini beralih kepada Sukan Asia dan Sukan Komanwel yang akan berlangsung tahun depan.

"Tahun ini saya tidak banyak menyertai kejohanan di luar negara atas beberapa masalah, jadi saya harap, selepas kejayaan di Laos, saya akan dapat menyertai lebih banyak kejohanan antarabangsa supaya saya dapat bersaing secara kompetitif.

"Sukan Asia dan Sukan Komanwel merupakan dua temasya yang terulung selepas Sukan Olimpik. Jadi kalau boleh, saya mahu mencipta kejayaan pada kedua-dua temasya tersebut.

"Saya hanya berharap, segala perancangan yang dilakukan KOAM (Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia) akan berjalan dengan baik. Dalam masa yang sama, saya akan terus memperbaiki catatan peribadi saya," kata atlet berusia 27 tahun itu.KOSMO

No comments:

Post a Comment