Tuesday, December 22, 2009

Hup Wei pertahan reputasi atlet emas


HUP WEI melepasi ketinggian 2.18m untuk meraih pingat emas dalam acara lompat tinggi lelaki.


VIENTIANE, Laos - Lee Hup Wei menepati ramalan apabila meraih pingat emas acara lompat tinggi lelaki pada Sukan SEA XXV di Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional semalam.

Sekalipun gagal memecah rekod Sukan SEA milik rakan senegaranya, Loo Kum Zee iaitu 2.24 meter pada temasya 1995 di Chiangmai, Thailand, catatan 2.18m yang dilakukan Hup Wei semalam sudah cukup buat atlet berusia 22 tahun itu untuk membawa pulang pingat emas.

"Saya cuba mengatasi rekod Sukan SEA (acara lompat tinggi lelaki) dengan ketinggian 2.25m pada percubaan terakhir tetapi malangnya saya gagal. Bagaimanapun, saya tetap gembira dan berpuas hati kerana pingat emas masih menjadi milik saya.




"Walaupun saya mempunyai keyakinan untuk memenangi pingat emas hari ini (semalam) tetapi ia bukan satu tugas yang mudah. Pencabar saya terutama dari Thailand benar-benar memberi saingan hebat kepada saya," kata Hup Wei.

Mengulas aksinya semalam, Hup Wei yang membuat penampilan ketiga pada temasya Sukan SEA berkata, dia kurang berpuas hati dengan rentak lariannya sehingga menjejaskan gaya lompatannya.

"Saya pun tidak tahu apa sebabnya, mungkin keadaan cuaca yang cukup panas. Teknik yang saya lakukan sudah betul, cuma larian saya tidak begitu bagus. Namun, saya bernasib baik kerana masih mampu mempertahankan pingat emas di Korat," kata Hup Wei yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 2.27m yang dilakukannya pada Kejohanan Olahraga Terbuka China tahun lalu.

Kini, sasaran terbarunya adalah untuk melepasi ketinggian 2.28m pada masa akan datang.

"Sasaran saya tahun depan adalah untuk melepasi ketinggian 2.28m. Dengan bimbingan dan tunjur ajar daripada jurulatih (Jorge Luis Alfaro Quinonez), saya percaya saya mampu melakukannya suatu hari nanti," kata Hup Wei .

Pingat perak dan gangsa acara lompat tinggi lelaki semalam masing-masing dimenangi atlet Thailand, P. Pumurai yang mencatatkan ketinggian 2.14m dan S. Singhaklang (2.10m). Atlet muda negara, S. Navinraj pula sekadar mampu mencatatkan ketinggian 2.05m.

No comments:

Post a Comment