Tuesday, December 22, 2009

Zafril buktikan penguasaan


ZAFRIL membuktikan kemampuannya dengan
meraih emas dalam acara 400m semalam.


VIENTIANE, Laos - 12 tahun lalu, pelari negara, Romzi Bakar berada di puncak kemasyhuran apabila mengungguli acara 400 meter lelaki pada Sukan SEA 1997 di Jakarta, Indonesia.

Semalam, giliran Mohd. Zafril Zuslaini mengikut jejak langkah bekas atlet negara itu apabila memenangi pingat emas acara yang sama pada temasya Sukan SEA XXV di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional Laos.

Zafril yang tidak diletakkan sebagai atlet pilihan untuk memenangi acara tersebut berjaya mencatatkan masa 47.11 saat untuk meninggalkan pencabar terdekatnya dari Indonesia, Heru Astriyanto (47.35s).

Pingat gangsa pula dimiliki pelari Thailand, Jakkatip Pojaroen yang merekodkan masa 47.53s manakala seorang lagi pelari negara, P. Yuvaraj sekadar di tempat keempat dengan catatan 47.61s.

"Dari awal lagi saya telah menetapkan sasaran untuk memenangi emas dalam acara ini selain mahu menambah koleksi emas Sukan SEA. Saya gembira kerana usaha saya selama ini berbayar dengan kejayaan saya meraih emas acara 400m hari ini (semalam)," kata Zafril ketika ditemui semalam.

Zafril berkata, dia tidak meletakkan sebarang harapan yang tinggi dalam acara 4x400m lelaki yang turut disertainya pada temasya kali ini.

"Saya sudah dapat menjangkakan agak sukar untuk kami (kuartet 4x400m negara) untuk mempertahankan pingat emas yang dimemangi pada Sukan SEA 2007 di Korat dalam acara tersebut. Ini kerana kami baru sahaja digandingkan sebelum menghadapi Sukan SEA di Laos.

"Disebabkan itulah saya mahu memberi tumpuan kepada acara 400m ini. Syukur kerana dapat juga mencapai sasaran peribadi saya selain memperbaiki catatan peribadi terbaik saya dalam acara 400m," kata Zafril yang membantu kuartet 4x400 negara meraih emas pada temasya 2007 di Korat.

Zafril menambah, kejayaan yang diraihnya itu sekali gus menebus kekecewaannya selepas hanya meraih pingat gangsa pada Sukan SEA 2005 di Manila, Filipina.

"Di Korat pula, saya tidak mengambil bahagian dalam acara 400m kerana diketepikan. Saya diketepikan kerana kurang menjalani latihan disebabkan emak saya (Zainun Abidin) baru sahaja meninggal. Jadi saya mahu menghadiahkan kejayaan ini kepada arwah emak yang telah banyak memberi sokongan kepada saya," kata atlet kelahiran Kuala Nerang, Terengganu itu.

Bagi saingan 400m wanita, Noraseela Khalid yang membuat penampilan pertama dalam acara tersebut pada temasya Sukan SEA hampir mencipta kejutan untuk meraih pingat emas.

Bagaimanapun, ekoran masalah kekejangan otot yang dialami Noraseela kira-kira 20 meter terakhir perlumbaan menyaksikan dia sekadar menamatkan saingan di tempat ketiga.

Emas acara tersebut dimenangi pelari Thailand, Treewadee Yongphan yang mencatatkan masa 54.16s manakala pingat perak milik atlet Myanmar, Kay Khine Lwin (54.25s). Noraseela menamatkan saingan dengan catatan 54.32s manakala rakan senegaranya, K. Ganthimanthi berada di tempat ketujuh selepas mencatatkan masa 57.69s.

"Saya minta maaf kepada seluruh peminat sukan Malaysia kerana gagal menyumbang emas. Mungkin kesilapan strategi menyebabkan saya mengalami kekejangan otot pada penghujung perlumbaan. Saya berlari terlalu pantas pada jarak 300 meter pertama dan saya akui, ia satu risiko," kata Noraseela.KOSMO

No comments:

Post a Comment