Monday, December 14, 2009

Perenang negara tawan kolam


ANAK EMAS... Siow Yi Ting (kiri) diberi ciuman oleh ibunya, Christina Chai atas kejayaannya dalam acara 100m kuak dada semalam.


VIENTIANE, Laos - Perenang sensasi negara, Siow Yi Ting sekali lagi berjaya memukau penonton di Pusat Renang, Kompleks Sukan Nasional pada temasya Sukan SEA XXV.

Selepas memecahkan rekod Sukan SEA dalam acara 200 meter rampaian individu wanita kelmarin, semalam Yi Ting mencipta rekod kedua Sukan SEA di Laos.

Kali ini, perenang kelahiran Negeri Sembilan itu mencipta rekod baru Sukan SEA dalam acara 100m kuak dada wanita dengan catatan masa 1:09.82 saat.

Yi Ting berjaya memadam rekod milik perenang Singapura, Nicolette Teo yang mencatat masa 1:10.15s pada Sukan SEA di Korat, Thailand dua tahun lepas.

Kejayaan itu dianggap hadiah hari jadi paling bermakna buat Yi Ting yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-24 semalam.

"Ini merupakan satu kejayaan yang cukup istimewa sepanjang karier saya. Dua rekod Sukan SEA dalam tempoh dua hari selain menyambut hari jadi saya hari ini (semalam), ia kejayaan yang cukup manis.

"Kejayaan ini menjadi hadiah hari jadi paling istimewa buat saya," kata Yi Ting ketika ditemui semalam.

Pingat perak acara 100m kuak dada wanita dimenangi oleh perenang Singapura, Roanne Ho yang mencatat masa 01:12.54s manakala rakan senegara Yi Ting, Erika Kong meraih gangsa dengan catatan 01:13. 18s.

Sebelum kejayaan Yi Ting, kem renang negara mula berpesta apabila Daniel Bego memecahkan rekod Sukan SEA dan rekod kebangsaan dalam acara 100m gaya bebas lelaki selepas mencatat masa 50.16s.


DANIEL BEGO meraikan kejayaannya memenangi pingat emas dalam acara 100m gaya bebas.


Sebelum ini, rekod dalam acara tersebut dipegang oleh perenang Indonesia, Richard Sam Bera dari Indonesia yang mencatatkan masa 50.80s pada Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur.

"Kejayaan ini amat membanggakan saya kerana pada Sukan SEA 2005 dan 2007, saya gagal meraih pingat emas dalam acara ini," kata Daniel yang turut memecah rekod kebangsaan miliknya sendiri iaitu 50.94s yang diciptanya pada Kejohanan Renang Dunia di Rom.

"Sebenarnya, saya tidak memikirkan untuk memecahkan rekod Sukan SEA tetapi hanya mahu memberi tumpuan kepada renangan saya. Saya sedar bukan tugas mudah untuk meraih emas, lebih-lebih lagi mencipta rekod baru Sukan SEA kerana pencabar saya semuanya kuat."

Perenang wanita, Khoo Cai Lin mengakhiri malam gemilang skuad renang negara semalam apabila turut mengikut jejak Yi Ting dan Daniel Bego memperbaharui rekod Sukan SEA.

Selain berjaya mempertahankan pingat emasnya dalam acara 400m gaya bebas selepas mencatat masa 4:10.75s, Cai Lin turut memperbaharui rekod Sukan SEA miliknya iaitu 4:18.20s yang dilakukannya pada temasya di Korat.

"Saya tidak sangka dapat memperbaharui rekod Sukan SEA milik saya sendiri dan saya amat berpuas hati kerana catatan kali ini jauh lebih baik berbanding di Korat.

"Kini saya bertambah yakin untuk meraih emas acara 800m gaya bebas esok (hari ini)," kata Cai Lin.

No comments:

Post a Comment