Monday, December 14, 2009

Bibiana lepas geram


BIBIANA Ng yang hampir setahun tidak beraksi kembali dengan kejayaan meraih pingat perak dalam acara kegemarannya, 10 meter Air Pistol pada Sukan SEA XXV di Laos semalam.


VIENTIANE, Laos - Selepas tidak beraksi di Korat, Thailand dua tahun lalu, penembak wanita negara, Bibiana Ng melepaskan geramnya pada Sukan SEA XXV Laos semalam.

Bibiana seakan-akan mahu kembali menunjukkan taringnya apabila menyumbang satu pingat perak dan satu pingat gangsa, masing- masing dalam acara 10 meter Air Pistol wanita individu dan berpasukan.

Dalam acara Air Pistol individu, Bibiana yang tidak beraksi pada temasya 2007 di Korat kerana menjalani penggantungan selama dua tahun ekoran kesalahan doping, mengumpul keseluruhan 476.50 mata.

Emas acara tersebut dimenangi oleh atlet Thailand, Tanyaporn Prucksakorn yang mencatat 483.00 mata manakala gangsa menjadi milik Wanwarin Yusawat (474.60) juga dari Thailand.

"Pada Sukan SEA di Korat, saya tidak beraksi disebabkan penggantu- ngan. Jadi saya amat gembira kerana dapat kembali meraih pingat pada Sukan SEA. Walaupun saya mahu meraih emas tetapi pingat perak dan gangsa yang saya menangi hari ini sudah cukup mengubati kekecewaan saya sebelum ini.

"Saya anggap ini permulaan baru dalam karier saya selepas digantung dua tahun. Kini saya sudah bersedia untuk kembali memburu sebarang kejuaraan di peringkat antarabangsa," kata Bibiana ketika ditemui semalam.

Katanya, walaupun tidak beraksi selama dua tahun secara kompetitif tetapi dia masih diberi peluang oleh Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menjalani latihan.

"Saya mahu berterima kasih kepada Datuk Zolkples Embong (Ketua Pengarah MSN) yang sentiasa memberi sokongan kepada saya. Saya tahu peluang saya dalam sukan menembak masih ada dan pihak yang terbabit banyak membantu. Saya percaya saya tidak pernah membuat sebarang kesalahan.

"Sejak kes doping, beliau (Zolkples), Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) dan juga majikan saya (Polis Diraja Malaysia) tidak putus-putus memberi semangat kepada saya dan juga rakan-rakan yang lain," kata penembak berusia 32 tahun itu.

Bibiana membuat penampilan sulung di pentas Sukan SEA pada edisi 1997 di Jakarta. Bagaimanapun, dia hanya mula beraksi dalam acara Air Pistol pada Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur.

Pada temasya tersebut, Bibiana meraih tiga pingat emas iaitu dalam acara Air Pistol individu dan berpasukan serta Sport Pistol individu.

Pada Sukan SEA 2005 di Manila, Bibiana meraih emas acara 25m Sport Pistol individu dan menduduki tempat keempat acara Air Pistol individu.

Terdahulu, Bibiana dan dua lagi rakannya, Joseline Cheah dan Siti Nur Masitah Mohd. Badrin meraih pingat gangsa dalam acara 10m Air Pistol berpasukan.

Trio wanita negara, Nur Suryani Mohamed, Muslifah Zulkifli dan Nor Ain Ibrahim pula gagal mempertahankan pingat emas acara 50m Rifel Prone berpasukan selepas turut meraih gangsa.

No comments:

Post a Comment